Monday, 14 March 2011

Remaja dan ketaksuban

Remaja dan ketaksuban

Kejayaan yang dibawa dari Barat itu boleh dicontohi selagi mana ia tidak bertentangan dengan Islam. - Gambar hiasan


TAKSUB ialah suatu sikap percaya kepada sesuatu atau seseorang secara melulu dan membawa kesan tidak baik kepada perkembangan diri dan agama. Ia berbeza dengan sifat taat (taah) yang membawa pedoman prinsip dan sifat terbuka terhadap sesuatu dan seseorang.
Bersikap taksub bermakna sesuatu yang dipegang dan dianut adalah benar dan selamanya benar walaupun terdapat kelemahan pada sesuatu dan seseorang itu, manakala sifat taat merujuk kepada kebenaran dari al-Quran dan al-sunnah.
Sifat taat juga merujuk kepada sesuatu yang betul dan benar di samping adil atau terhadap seseorang yang juga mendukung kebenaran dan keadilan.
Jika ada pertikaian terhadap kebenaran dan keadilan yang cuba dibawa seseorang harus bersikap terbuka dan kembali kepada sumber iaitu al-Quran dan sunnah.
Sikap taksub boleh membawa kepada kejumudan berfikir dan kebekuan minda. Sekiranya hal ini berlaku, masyarakat Islam tidak akan maju ke hadapan dan gagal menghasilkan model-model Islam yang relevan dengan zaman.
Para remaja Islam walaupun memiliki idealisme yang tinggi harus mampu mengimbangi antara pemahaman terhadap realiti.
Tidak salah bagi remaja memiliki idealisme yang tinggi. Tetapi adalah salah idealisme dilontarkan tanpa perancangan strategik bagaimana idealisme itu dapat dilaksanakan.
Remaja juga mempunyai mentaliti menentang. Namun, penentangan harus dilakukan dengan bijaksana dan berasas. Tanpa memahami realiti penentangan hanya bersifat khutbah dan syarah atau retorik.
Penentangan bagi remaja yang proaktif harus disediakan dengan gagasan yang cukup baik yang menghasilkan model alternatif untuk dilaksanakan di tengah-tengah gelanggang.
Jika tidak, idealisme dan jiwa penentangan hanya ibarat kiambang yang bunganya cantik di permukaan air tetapi akarnya tidak berjejak bumi. Datang gelombang dan arus, ia mudah hanyut ke tepi.
Ini tidak pula bermakna para remaja tidak harus memiliki sifat taat, idealisme yang tinggi atau daya kritis yang tinggi. Bagi remaja, kualiti sedemikian adalah perlu tetapi jangan sampai sifat taat menjadi taksub melulu sehingga para remaja tidak bersedia mendengar pandangan kedua (second opinion) yang boleh memperkemaskan lagi pandangan pandangan pertama atau sifat taat yang melulu.
Sekali gus menyebabkan faham taksub menebal dan tertutup dengan maklumat dan pandangan orang lain walaupun ia benar dan baik. Akhirnya berlaku penentangan yang tidak berasas dan menyebabkan konflik yang sia-sia terjadi.
Sifat terbuka adalah sesuatu yang amat penting bagi remaja.
Ia bukan bermakna para remaja tidak harus mempunyai prinsip atau pegangan terhadap sesuatu.
Sifat terbuka memberikan pedoman bahawa prinsip yang dipegang dan kesediaan mendengar dan mengambil hujah-hujah yang baik dari sumber lain menjadikan pegangan remaja bertambah kuat dan teguh.
Para remaja harus menginsafi bahawa pada sesuatu dan pada seseorang manusia Allah tidak kurniakan segala-gala dan sempurna.
Sudah tentu para remaja memerlukan pandangan kedua atau ketiga dari pihak lain supaya gagasan pemikiran yang ada pada remaja menjadi matang dan semasa.
Pada zaman ini revolusi ilmu pengetahuan berkembang pesat. Revolusi teknologi dan digital menjadi semakain hebat. Ilmu-ilmu berbanding dari Barat dan Timur berkembang subur.
Sekiranya para remaja hanya memberi satu sudut pandangan dari apa yang diketahuinya sahaja tanpa memanfaatkan sumber-sumber berbanding yang terizin oleh agama, maka pemikiran remaja akan menjadi taksub.
Ketaksuban sama maknanya dengan kebekuan pemikiran. Sifat zaman dinamik berubah. Sekiranya mentaliti remaja Islam tidak berubah, mereka bakal dipinggirkan oleh zaman.

1 comment:

  1. Erm...betul tu cik dyra...thanks utk perkongsian ini..really appreciate tahat

    ReplyDelete

Your comments here