Friday, 4 July 2014

Kekalkan momentum tenaga

Di dalam koc komuter pulang ke Rawang hari ini, saya menonton sebuah sketsa yang cukup bermakna.

Kisahnya bermula bila ada seorang muslimah yang begitu letih sekali raut wajahnya.  Dia cuba untuk pejamkan matanya beberapa kali tapi tak terlena.

Suasana panas dalam train  menambahkan lagi rimas yang sedia ada

Lalu dia terlihat seorang wanita tua sedang membelek-belek majalah. Dari rupanya, mudah dikenali ia berbangsa cina.

Lantas dia bangun dan memberikan tempat duduk.

Tanpa dia sangka, lima minit kemudian, seorang wanita cina pula bangun dari tempat duduk untuk anak kecil berbangsa india.

Tapi, sang adik tidak betahkan tempat duduk itu, kerana adiknya masih berdiri bersama ibu.

Lantas seorang gadis melayu pula bangun, dan memberikan tempat duduk bersebelahan buat sang adik dan ibu.

Dua kerusi, tiga manusia.

Tiga kerusi, kisah yang tidak rasist.

Bukti, bahawa perbuatan baik itu berjangkit.

Walaupun mentari mencerut kalenjar peluh merembeskan cecairnya, dan tekak yang tidak dibasahi air masih terasa kedahagaannya, ayuh terus kekalkan momentun tenaga.

Puasa bukan alasan
Puasa adalah jalan bagi membuktikan akhlak dan peribadi insan

Wednesday, 21 May 2014

Dia Seorang Pejuang

Minggu lalu, sedang saya membelek-belek almari buku di dalam bilik, terdetik dalam hati untuk membelek buku-buku lama tinggalan arwah abah. Satu persatu buku di atas rak itu saya teliti. 

Tanpa saya sangka, hari itu menjadi permulaan dalam percubaan saya untuk menyelongkar sedikit sebanyak episod hidup abah. Ternyata, abah bukan seorang yang biasa-biasa!

Tetapi, malam ini saya bukan ingin bercerita tentang abah di waktu zaman saya masih kecil dan sebelumnya. Tetapi saat-saat akhir hidupnya. Tidak banyak yang saya ingin coretkan malam ini. Hanya sebutir dua hikmah untuk renungan bersama.

Abah penghidap penyakit kegagalan buah pinggang. Oleh sebab itu, Abah akan melakukan dialisis setiap hari. Ramai yang maklum terdapat dua jenis dialisis yang ada. Abah memilih untuk melakukan CAPD atau Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis. Dialisis jenis ini memerlukan Abah untuk melakukan ''pembersihah'' dengan cara memasukkan sejenis cecair khas ke dalam ruang peritoneal.

Mengapa CAPD? 

Saya sendiri kurang pasti mengapa. Tapi saya yakin, Abah memilih CAPD tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kami. Untuk isteri dan anak-anaknya. 

CAPD tidak perlu untuk ke pusat rawatan haemodialysis dan menunggu kurang lebih 3-4 jam untuk sekali rawatan. CAPD dilakukan empat kali sehari, 6 pagi 12 tengah hari, 6 petang dan 12 malam. Lebih kurang inilah jadualnya. Setiap kali CAPD dilakukan, hanya memakan masa 30 minit.

Dengan cara ini, Abah masih boleh bekerja. Abah hanya perlu ke klinik atau hospital berdekatan, didalam ruang khas dialisis atau bilik khas yang telah sedia sterilised atau nyahkuman.

Haemodialisis pula perlu masa yang lama. Dan setelah rawatan, pesakit akan menghadapi rasa mual, loya pening atau muntah. Dan tidak boleh memandu dalam masa 1 jam selepas rawatan. Kerana itu, Abah memilih rawatan CAPD. Abah masih mahu bekerja. Bekerja untuk menyara kami. Memberi nafkah anak isteri.

Hebatnya pengorbanan Abah!

Abah memikirkan kami, sebelum memikirkan diri sendiri. Abah tahu dalam perlindungannya adalah seorang wanita hebat, dan 5 orang anak-anak yang fragile. Perlukan perlindungan. Dan Abah adalah seorang pelindung yang setia.

Abah tidak boleh selalu terdedah dengan kuman dan kotoran. Tetapi, menjadi seorang jurutera tapak, bukankah habuk, debu, tanah dan lumpur itu medan juangnya? Abah tidak terlalu ambil pusing soal itu, begitu tinggi pasrah dan tawakkal pada Allah.

Saya masih ingat, saya selalu mengambil tangan abah dan mencari-cari pergelangan tangannya. Lalu dibawa ke cuping telinga. Deras! Deras sekali aliran darah dan begitu kuat kedengaran injap salur darah setelah urat itu dibesarkan dalam satu pembedahan.

Dan saya masih ingat juga, Abah seorang lelaki yang gagah. Tak pernah terdengar langsung rintihan, keluhan apatah lagi tak pernah lihat abah menangis. Tapi pada malam pembedahan itu, Abah merintih, dan berzikir kuat Allahu akbar. Saat itu dada saya terasa dihimpap bebanan. Malam itu, pertama kali saya lihat Abah dalam keadaan sakit yang teramat. Seperti tidak tertanggung sampai sahaja Abah merintih.

Betapa sakitnya apa yang Abah rasa.

Abah kuat. Tapi sekuat abah, tak tertanggung rasa sakit itu. Melihat abah dalam keadaan 'fragile' seperti itu, hati seorang anak ini jadi rapuh. Kalau bukan kerana tidak mahu abah sedih melihat saya risaukan abah, pasti dah lama saya turut menangis dalam wad disaksikan doktor dan jururawat. Tapi, dalam diam, saya sembunyikan setiap titis air mata. Bimbang mengundang embun pada kelopak mata Abah. 

Tibanya saat doktor menasihatkan Abah untuk bertukar dari CAPD ke haemodialisis. Saya tidak pasti bagaimana abah menghadapi saat ini. Apa yang terlintas dan yang difikirkan Abah. Apa yang pasti, Abah seorang abah yang bertanggungjawab dan 'sensible'. 

Tempoh melakukan haemodialisis ditangguhkan. Atau sengaja ditangguhkan saya pun tidak tahu. Tapi yang pastinya Abah tidak sempat menjalani haemodialisis.

Maksudnya, sehingga ke akhir hayat Abah, dia adalah seorang pejuang.

Dalam sakit, Abah masih bekerja menyara kami
Dalam sakit, Abah masih terlibat aktif dengan JKK
Dalam sakit, Abah masih berbakti pada KAFA (i) Al-Imaniah
Dalam sakit, Abah masih istiqamah berjamaah di masjid

Sehingga ke akhir hayat Abah, dia bukanlah seorang 'pencen sakit'. Masih tetap bekerja kerana risaukan kami 5 beradik. Sehingga ke akhir hayat Abah, dia menyumbang untuk kami. Dalam keadaan Abah sendiri kurang upaya.

Itulah kisah Abah. Tidakkah kita yang masih hidup, muda dan berkemampuan ini tidak mahu mengambil ibrah? 

Kekuatan kita, kemana kita salurkan?
Keupayaan kita, kemana kita salurkan?
Fikiran kita, kemana kita salurkan?
'concern' kita, kemana kita salurkan?

Abah tinggal sedikit kekuatannya, tetapi masih mampu memberi.

Abah perlukan penjagaan, tetapi masih mampu menjaga kami.

Saya ingin menjadi seperti Abah. Saya ingin memberi bukan sebab saya ada banyak. Tetapi sebab saya ada, walau sedikit. Walau esok seperti bukan milik saya lagi. Saya ingin terus memberi.

.: Abah pergi meninggalkan kami awal november 2009. Al-Fatihah buat insan hebat ini. Dan ambillah pengajaran dari pengorbanannya. :.

Monday, 19 May 2014

Pengomel Jalanan

Alangkah hebat seorang mujahid
Yang berpencak diatas pentas siasah
Perjuangannya suci meninggikan kalimah ilahi
Tapi dipanggil-panggil dengan gelaran hina

Penjual agama
Politikus
Ustaz sampul
Gila kuasa
Sang rakus
Pak turut

Perjuangannya tidak indah
Dibentangkan kata caci maki
Berjauhan anak isteri
Kalau bukan kerana iman dan pertolongan Ilahi
Pasti pejuang genre ini mati ditengah babak masyarakat yang kabut serabut

Bukan mudah memahami seni ini
Nampak kawan tetapi lawan
Semua nak lihat bersatu
Lalu bila tidak, pejuang dilihat hanya mahu berseteru

Pergilah kau pengomel jalanan
Kata-kata picisanmu tidak sedikit menggugat rantai perjuangan
Kerana mujahid genre ini
Tidak gagah dek puji
Tidak rebah dek keji

Kupu-kupu pilu

Terbangnya aku dari negeri itu
Membawa jasadku terpisah-pisah ke negeri-negeri lain
Satu juzuk disini, lainnya berserakan di daerah lain
Terbangnya aku dengan darah dan air mata

Bilakah akan pulih sayap kupu-kupu yang luka
Aku mahu kembali kesana menyeka air mata bonda
Aku mahu kembali kesana menyebarkan kehangatan pada yatim yang hilang pelukan ayahanda
Aku mahu jadi kubu yang ditusuk peluru bangsa durjana demi Tuhan dan agama

Wahai bayu bawakan aku khabar dari Ghazzah
Wahai awan sampaikan salam rinduku pada anak Falastin
Wahai burung kicaukan nyanyian doaku pada Al-Quds
Wahai kupu-kupu bahagia, pinjamkan aku sayapmu agar dapat aku kesana

Kerana aku adalah kupu-kupu pilu
Yang terbuang dari bumi sendiri

Sunday, 18 May 2014

Kilang Cinta

Kilang ini luar biasa walau
Luarnya biasa tidak ada yang berbeza
Lamannya hanya kebun kecil
Dibatasnya ada bunga kemboja

Dalam kilang ini ada enam suara
Kadang lima,  empat kini selalunya tiga
Dalam kilang ini ada dua belas mata
Kadang sepuluh, lapan kini selalunya enam

Ada apa dengan kilang ini?
Atapnya genting dindingnya kayu
Persis kilang biasa

Kilang ini kilang cinta rupanya
Fabrik mawaddah tenunan barokah
Kilang ini kilang cinta rupanya
Mencetak kasih membuku rindu

Aku kagum pada sosok didalam kilang ini
Gagah membangun jiwa tak gugah dek usia
Setia mematri besi kekuatan walau terik panas dan peluh satunya teman
Bisa tetap berjalan walau ada saja dugaan merempuh tak pernah lumpuh

Inilah kilang cinta kami
Marilah ke teratak kasih berkongsi rasa
Kilang kecil di sebuah kampung pinggir kota
Jalan Berkat jadi saksi anak-anak kilang ini bertatih, berlari,  ketawa, jatuh dan menangis

Inilah kilang cinta kami
Mahukah kau kemari?

Jangan risaukan...

Seruan jihad memanggilnya
Tinggallah adik-adiknya bersama bonda tercinta
Rumahnya tidak seindah istana
Atapnya lagikan bocor
Dindingnya lagikan lubang

Tapi di rumah itulah dia membesar
Bermain bermanja dan menangis
Di rumah itu dia galas amanah
Cinta pada kami itu kadang membawa luka

Tapi dia seorang pencinta luar biasa
Dia binakan kami sebuah kubu
Tempat bertahan dan berlindung
Dalam kubu itu ada jiwanya

Dan kini, dia tinggalkan rumah ini
Demi sebuah panggilan ummah yang memerlukan
Perginya dia bukan lari
Perginya dia untuk bersama kami

Rumah ini harganya tidak bisa dibayarkan
Pergilah kakandaku jangan biar jiwamu takut
Tenang-tenangkan hati gundahmu jangan biar ia mengganggu
Pergilah dengan iringan lafaz nama tuhanmu

Bonda akan kita peluknya erat
Adik-adik akan kita jaga mereka hingga dewasa
Kita tak sempurna, tapi kita sekeluarga
Kita satu keluarga

Basuhlah lukamu dengan titisan embun ketenangan
Biarkan cerita,  episod dan cerpen semalam
Menambah tsaqafah erti kehidupan
Pergilah dan bawalah kami bersama dalam ingatan

Thursday, 15 May 2014

Ada Apa Dengan INTEC?

Bismmillahirrahmanirrahiim. 

Okay hari ni Kak Nadhirah nak cerita sedikit pengalaman sepanjang berada dekat INTEC ni. 

Mula-mula masuk INTEC, daftar kat CEMARA. Kemudian baru masuk ke bilik di AKASIA. Masuk je perkarangan CEMARA nampak ramai student. Yang student lelakinya smart dan confident. Cuak. Serious cuak. Rasa macam diri ini kerdil je. Macam-macam terfikir

"Habislah, kat sini semua budak-budak genius kot!"

Usai tamat pendaftaran kami diminta membawa masuk barang-barang ke dalam bilik. And guess what, bilik Kak Nadhirah tingkat 5 kot!Ya Allah nak mengangkutnya punyalah siksa.( hiperbola disitu )Tapi bila dah lama duduk tingkat 5 ni, sebenarnya banyak kelebihannya

  1. Angin kuat = sejuk
  2. Paling selamat sebab abang, pak cik dan atok tak boleh nampak
  3. paling tenang 
Untuk adik-adik yang tingkat satu dan tingkat 2, ini pesanan khas dari penaja. PLEASEEEEE tolong selalu tutup langsir. Orang luar sesenang je nak usha. Tolong jaga aurat masing-masing dan kawan-kawan anda.

APA YANG BEST KAT AKASIA NI?

1. SURAU AKASIA

surau akasia adalah rumah kedua Kak Nadhirah. Hehe. Sebab apa suka datang sini? sebab ada air-cond lah! gurau. itu salah satu faktor kecil. Best surau akasia sebab kat sini macam tenang. Lepastu banyak halaqah dan bulatan bulatan gumbira ( bahasa klisenye usrah lerr ) kat sini. Ha kalau nak usrah, nanti adik-adik boleh join Professional Student Society ( PSC ). Kenapa x dek nama islamik disitu? Sebab.... sebab.... sebab.... kita akan bincangkan kemudian :p 

Tapi yang pastinya adik-adik kalau nak rasa ada pengisisan jiwa jom lah join. Akak-akak INTEC ni rajin belanja makan , gi jejalan. Haaa. nak rasa semua tu, rajin-rajinlah berhubung ddengan seniors. banyak manfaatnya. Antaranya korang boleh tahu tips belajar. Belajar kat sini tak sama langsung ngan belajar kat sekolah. seriously ~ 

2. GYMNASIUM 

Betulke eja tu? @_# GYM yang paling famous adalah GYM di CEMARA. Cemara ni jangan risau, depan AKASIA je. Ada macam-macam. Advance jugak lah. Cuma gym kat sini ada schedule. Ada masa untuk student perempuan, ada masa untuk student lelaki. Follow the rules okay! Jangan lupa singgah GYM kat sini. Cuma Kak Nadhirah tak berkesempatan lagi pergi. Sebab tak ade mase yang tak ade lelaki ( #marah ) kalau GYM ttu kosong pun, ade je lelaki berkeliaran dalam Dewan Berlian ( Dewan Berlian yang menempatkan gym dan ruang untuk belajar. kondusif gila, aircond and paling best sofa merah kat situ. Boleh tidur tak bangun-bangun tau )

3. Bilik Komputer

Dekat akasia Bilik Komputer terletak dihadapan surau, disebelah bilik belajar. Di cemara pula di aras surau dan pejabat cemara. Kat sini internet laju gila. Sometimes boleh tengok youtube, kadang-kadang tak boleh. tengok nasib jugak. Kalau buka youtube tu jangan dok menghadap kpop korea jepun je keje. Cuba manfaatkan youtube untuk bina personaliti dan bina diri. Tengok-tengoklah diskusi dan wacana. Sebab kat INTEC harapan lah nak ade wacana / forum / diskopi / diskusi / muzakarah macam kat universiti lain. Kadangkala rasa macam nilai mahasiswa kita yang bakal fly ni sangat rendah. Pemikiran tak kritikal. Tak cakna hal semasa. Tapi itu hanyalah sebahagian (besar!) pelajar INTEC. In sya Allah kita sama-sama usahakan agar nilai mahasiswa terus tinggi! kita harapan bangsa dan negara ( patriotik pulak ). Sebab tu adik-adik kena ubah status quo ini. Masuk semua persatuan dan ubah mentaliti pelajar. Jangan nak buat joget-joget je keje. Buat sesuatu yang kena dengan level mahasiswa

4. Bilik Belajar

Bilik belajar jika anda inginkan personal space dan air-cond. Wait, kenapa Kak Nadhirah asyik cerita pasal air-cond? sebab Shah Alam ni bandar konkrit adik-adikku. Jadi, kepanasannya hanya Allah yang tahu. Kalau yang tak tahan tu sampai bawak kipas sendiri. bayangkan betapa dahsyatnya panas kat Shah Alam ni. That is why Kak Nadhirah tak suka duduk bandar. Nak duduk kampung tanam kangkung. :p

5. MESIN BASUH

Untuk adik-adik yang malas sangat nak basuh tangan baju-baju tu, anda ada 2 pilihan. Samada Basuh di mesin basuh ataupun hantar sahaja ke dobi. Yang famous kat cemara-akasia ada dua. AquaNano dengan Kemuning ( bukan Kamunting ). Untunglah korang sebab INTEC dah start upgrade mesin basuh. dulu ade 3 je, itu pun dah nazak. In sya Allah dobi baru bakal ada.

6. NAK MAKAN DEKAT MANA?

Selagi mana anda merupakan penduduk cemara akasia, kebuluran adalah perkara terakhir yang anda harus takuti. Kat sini paling murah makan dekat ole-ole. My personal favourite meal adalah makan Kuew Teow Kung Fu dekat ole-ole kedai makcik thailand. Kat sini kedai mamak berlambak, rafi bistro ( mahal siket ) , Imthiyaz dan Awwal. Kalau kedai melayu ada Wira sejati, Sup Utara, Keningau dan lain-lain. Kalau kaya sikit boleh makan KFC, PAK LI or Secret Recipe. Mc Donald siapa berani jejak sana, Kak Nadhirah tembak ngan M16. ( #pemboykottegarMcD )

7. Nak Belajar Macam mana ?

- tunggu entri akan datang - #inisemuapoyo -

8. Nak pergi INTEC macam mana?

Dari kolej cemara akasia dan cendana, INTEC sediakan shuttle bus. Bas sentiasa ada bermula 6.50 am sampai 10.00 am. 10-12 tiada pergerakan bas dan disambung 12-7pm. Kalau pagi-pagi tu memang banyak gila bas datang dan pergi. lepas pukul 9. bas akan bergerak setiap setengah jam ke 45 minit. ikut nasib. Kalau pandai bodek, boleh mengendeng kat pak cik bas. Pak cik bas semua baik-baik dan sporting. Ha satu lagi pesanan. Nanti dah turun bas, jangan lupa cakap terima kasih. Kalau tidak Kak Nadhirah tembak dengan senapang rifle pulak. Mati dua kali

http://www.intec.edu.my/main/

http://intec.uitm.edu.my/contact-us.html

http://topaz.kampus17.uitm.edu.my/sos/ 

Rasanya, setakat ini saja entri kali ni. in sya Allah akan di update bila datang ilham. Selamat tinggal semua! jaga diri elok-elok jangan tinggal solat okey ^^

Assalamualaikum

follow instagram @nadhirahbaharin

add facebook Nadhirah Baharin

Join Group INTEC 2014/16
Like page rasmi PSC Professional Student Society

follow blog nadhirahbaharin.blogspot.com