Showing posts with label An-Nisaa. Show all posts
Showing posts with label An-Nisaa. Show all posts

Thursday, 7 March 2013

MAN ANA ( من أنا ) oleh BROTHERS | Mentafsir Lirik



beremang tak bulu roma baca quotes diatas ? T_T 
Bismillahirrahmanirrahiim

Apa khabar iman antum antunna semua (ececeh ber antum antunna lah pulak hamba Allah nie ). Hari ini ana nak share satu lagu yang dulu ana suka. Namun lama-kelamaan semakin dilupakan. sehinggalah terdetik dalam hati untuk mencari makna lagu ni ( semenjak dah minat bangett sama bahasa syurga ^_^ ) ... Subhanallah, tak sangka maknanya sangat mendalam. Maka mata mulalah berendam titis tangisan. Masya Allah, sangat menaikkan semangat. Hayati, tadabbur lah lirik ini yang kalau tak silap ini hasil nukilan ulama' kotemporari masa kini iaitu Dr Yusuf Qardhawi...

MAN ANA (  من أنا )
Brothers

أنا إن سألت القوم عني من أنا

أنــــا مؤمن ســــأعيش دوماً مؤمنا

فليعلم الجميع أني ها هنا

لن أنحني لن أنثني لن أركنا


Ana in saaltal-qouma 'anni man ana
jika ditanya aku tentang siapakah aku,
Ana mu`minun sa a'isyu dauman mu`mina
akulah mukmin yang akan hidup sebagai mukmin
Falya'lamil-jami'u 'anni ha huna
maka ketahuilah semua orang aku di sini,
Lan anhani lan antani lan arkana
tidak akan terhina atau terpesong juga tidak akan bergantung kepada sesiapa


إني رأيت الله في أكوانه

وسمعت صوت الحق في قرآنه

ولمست حكمة ونور بيانه

في سيرة المختار في إيمانه
Inni ra`aitullaha fi akwanihi
sesungguhnya Aku melihat Allah dalam ciptaanNya,
Wa sami'tul shautul-haqqi fi qur`anihi
dan aku dengar suara kebenaran dalam QuranNya.
Wa lamastu hikmatahu wa faidha hana`ihi
dan aku sentuh hikmahNya dan belai kasihNya
Fi siratil-mukhtari fi imanihi
dalam sirah mereka yang terpilih imannya



أنا مصحف يمشي وإسلام يرى

أنا نفحة علوية فوق الثرى

الكون لي ولخدمتي قد سخرا

ولمن أنا أنا للذي خلق الورى
Ana mus-hafun yamsyi wa islamun yura
Akulah Mushaf yang berjalan dan Islam diperlihatkan
Ana nafhatul-ulwiyyatun fauqats-tsara
akulah angin meniup tinggi atas setiap pelayar
Al-kaunu li wa li khidmati qad sukhira
alam ini bagiku dan bagiku khidmat yang telah dimudahkan
Wa li man ana, ana lilladzi khalaqal-wara
dan untuk siapakah aku, aku untuk yang menciptakan semuanya



أنا كوكب يهدي القوافل في السرى

وأنا الشهاب إذا رأيت المنكرات

ما لي سوى نفس تعد على الشرى

قد بعتها لله والله اشترى

Ana kaukabun yahdil qawafila fits-tsara
Akulah bintang yang menunjuk qafilah dalam perjalanan, (pedoman kepada pengembara dibumi )
Wa ana syihabun idza ra`aitul munkarat
dan akulah kejora(bintang/pahlawan)  ketika kulihat kemungkaran
Ma li siwa nafsun ta'uddu 'alasy-syira
tiada bagiku selain jiwa yang dikira atas pembelian
Qad bi'tuha lillahi wallahusytara
sesungguhnya telah aku jualkannya pada Allah dan Allah membelinya!!!






Jangan panggil aku muslim sejati andai hidup bergalang duniawi
tapi tak bermakna aku tak perlu kalian untuk dicintai 

catatan dinihati seorang pencintai ilahi ( yang masih belum sempurna mencintai )
1:44 am 
8 Mac 2013
25 Rabiul Akhir 1434 Hijrah

Friday, 14 September 2012

Waspada Dengan Godaan Wanita



Dikirim oleh epondok pada Mei 12, 2011
Oleh IBRAHIM ABDULLAH 

ALLAH SWT telah menganugerahkan kepada kaum wanita keindahan, kecantikan dan keghairahannya yang membuatkan kaum lelaki tertarik kepada mereka. 

Namun syariat yang suci tidak memperkenankan keindahannya itu dipamerkan seperti barang dagangan.

Sebaliknya kenyataan dan realiti yang kita jumpai sekarang ini wanita justeru menjadi sumber fitnah bagi lelaki. Di jalan-jalan, di program televisyen atau cakera padat video (VCD) dan media massa, wanita mendedahkan aurat sekehendak hatinya.

Apa lagi melalui pertandingan kecantikan, pertunjukan filem dan drama yang menunjukkan keindahan tubuh wanita sehingga seolah-olah tidak ada seksa dan tidak kenal apa itu dosa.

Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Tidak pernah aku tinggalkan sepeninggalanku godaan yang lebih besar bagi kaum lelaki daripada wanita (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Begitulah realitinya, wanita menjadi sumber godaan yang telah banyak membuat lelaki lemah lutut dan terbenam dalam lumpur maksiat yang dibuat oleh syaitan untuk menenggelamkan manusia.

Usaha-usaha untuk menggoda boleh terjadi secara halus, disedari ataupun tidak, secara terang-terangan mahupun tersembunyi.

Lihatlah kisah Nabi Yusuf a.s ketika isteri pembesar Mesir secara terang-terangan menggoda beliau untuk diajak melakukan perkara yang sumbang.

Friday, 24 August 2012

Kerana Menutup Auratlah Yang Membezakan Kita Dengan Mereka


ByIrna Syafiqah Zaabar
Bismillahhirrahmanirrahim
Bersyukur aku kepada Ilahi kerana masih lagi diberi peluang dan ruang untuk bernafas, meni’mati segala kurniaanNya yang tidak mampu untuk aku beli. Dari kita celik mata hinggalah kita menutup mata, terlalu banyak ni’mat kurniaan Dia kepada kita kan? Selepas bangun dari subuh, aku tidak terus tidur. Sudah menjadi kebiasaan aku tidak akan tidur selepas subuh melainkan mata dan badan ini terlalu letih kerana berjaga untuk membuat tugasan dan assignment di malam hari, barulah aku akan tidur sebentar. Rutin harianku sekiranya tidak kuliah, aku akan mula mengakses internet untuk membaca artikel-artikel yang boleh memberi manfaat. Ketika aku melayari sebuah blog, aku terbaca sebuah entry mengenai penghijarahan seorang wanita yang dari tidak menutup aurat dengan sempurna kepada bertudung labuh. Terkesima aku membacanya. Alhamdulillah.. Hidayah Allah itu datang kepada siapa yang cuba untuk mencarinya. Lalu aku juga teringin untuk berkongsi kisahku kepada kalian.
Sejak aku dibangku sekolah, aku sudah mengetahui tentang aurat wanita itu, bahkan apabila sedang belajar di kelas Pendidikan Islam sekiranya ditanya tentang aurat wanita aku adalah orang yang seringkali memberi jawapan. Tetapi tetap aku tidak menutup aurat dengan sempurna. Aneh sungguh! Aku masih lagi mengenakan pakaian yang tidak mengikut kehendakNya, masih lagi tidak berstokin dan sebagainya. Pernah juga terdetik di hati ini untuk berubah pada ketika itu apabila melihat kawan yang tertutup rapi menjaga auratnya. Tetapi setiap kali aku cuba berubah, pasti pelbagai persoalan aku fikirkan. Nanti orang kata aku hipokrit lah, nanti kalau bertudung labuh tapi perangai tetap sama macam mana, nanti kalau bertudung labuh dah tak boleh nak “gila-gila” macam dulu, terlalu banyak yang aku fikir. Maka, akhirnya aku tetap begitu.
Kehidupanku diteruskan lagi apabila aku berjaya menempatkan diri di sebuah IPTA di selatan negara. Di sinilah kisah penghijrahanku bermula. Seperti pelajar-pelajar wanita yang lain, apabila ke kuliah aku akan mengenakan pakaian yang “biasa” aku pakai. Jeans, blouse dan tudung. Suatu hari ketika menunggu bas, mataku teralih untuk melihat dua orang mahasiswa di hadapanku. Seorangnya bukan islam dan seorangnya Islam. Lalu, aku mula memerhati. Aku terus menunduk dan melihat apa yang aku pakai dan aku terus mengalihkan pandangan kepada wanita Islam itu. Bertudung labuh, berbaju longgar dan juga labuh, seluarnya juga begitu dan berstokin. Maka timbul satu soalan dalam fikiranku. Sekiranya aku berpakaian seperti mereka yang bukan Islam itu, apakah beza antara aku dengan mereka? Di sepanjang perjalanan, aku hanya diam. Tidak kecoh seperti biasa. Aku mula berfikir. Tiba-tiba teringat kata-kata pensyarahku tempoh hari. Aku berjumpa dengannya untuk bertanya soalan, tapi dia pula yang menanyaku kembali. Sejurus aku memasuki biliknya, soalan pertama dia kepadaku, “You tahu tak kenapa baju yang you pakai ni tak boleh buat solat?”. Aku menjawab dengan nada yang endah tak endah. “Sebab ketat kot”. Betul, jawapan tu katanya. Tapi jawapan yang lebih tepat “sebab pakaian you tu tak boleh buat solat”, katanya lagi.
Aku mula teringat kembali kata-kata ayahku suatu ketika dahulu. “Anak babah cantik tau kalau pakai jubah, pakai longgar-longgar, taknak try ke?” “Kakak tak kesian ke kat babah kalau babah masuk neraka? Kakak pakai macam ni?” Aku mula tersentak! Jiwaku seperti disentap –sentap. Kepalaku masih ligat lagi memikirkan tentang hal ini. Aku seperti orang yang sedang tidur lalu dibangunkan dari lena yang panjang! Aku tidak terus makan pada hari itu, aku terus pulang ke bilik. Aku mula termangu, termenung memikirkan apa yang telah aku lakukan, apa yang telah aku kenakan di sepanjang hidup aku hingga saat ini. Bukan aku tidak tahu tentang aurat wanita itu, tetapi mengapa aku tidak mahu memahaminya? Bukan ayah tidak pernah menasihati aku, tetapi mengapa aku tetap berdegil? Bukan ayah tidak mendidik, mengapa aku tidak menerima untuk dididik? Bukan tiada sahabat yang menegur, mengapa aku tidak mengambil teguran mereka? Aku bukan tiada ilmu tentang ini, tetapi mengapa aku tidak pernah ambil tahu. Aku solat, tapi mengapa aku tidak mengikut pakaian yang disyariatNya? Islam kah aku sekiranya pakaian yang aku kenakan menerupai mereka yang bukan Islam? Air mataku mula mengalir tanpa sedar, memikirkan apa yang aku lakukan disepanjang aku hidup. Apa yang aku kenakan sebelum ini ketika aku melangkah keluar.
Hari demi hari, aku mula untuk memahami dengan lebih mendalam apakah itu aurat wanita dan cuba mempraktikkan. Perlahan-lahan aku mengenakan baju yang longgar dan labuh, bertudung menutupi dada, dan berstokin. Pencarian itu aku teruskan lagi. Aku memerhati mereka yang menjaga auratnya, aku mula membaca artikel-artikel tentang aurat wanita. Al-Quran yang jarang dibuka, aku mula buka. Jika sebelum ini aku membaca tanpa memahami maksud, aku mula mencari terjemahan quran itu. Sehingga lah aku menemukan ayat ini.
“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan JANGANLAH MENAMPAKKAN PERHIASANNYA (AURATNYA), kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka MENUTUPKAN KAIN KERUDUNG KE DADANYA..” - (Surah An Nur, 24: 31)
“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, HENDAKLAH MEREKA MENUTUPKAN JILBABNYA KE SELURUH TUBUH MEREKA”. Yang demikian itu agar mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang”. - (Surah Al Ahzab, 33: 59)
Nah! Peringatan Allah tentang kewajiban menutup dan memelihara aurat ini telah terwujud sebelum kita dilahirkan lagi. Aku mula memahami betapa berharganya diri kita ini wahai wanita. Aku dapat merasakan sesuatu yang sangat berbeza apabila aku berpakaian begini. Sekiranya sebelum ini aku sering diganggu oleh lelaki, selepas aku berpakaian begini, aku tidak kerap diganggu terutamanya apabila berjalan seorang diri. Aku sudah merasakan selamat apabila berpakaian begini. Alhamdulillah, inilah ni’mat yang paling berharga dalam hidup selain ni’mat Islam dan Iman iaitu ni’mat hidayah. Hidayah takkan datang tanpa kita cari, Allah juga akan memberi hidayah kepada orang yang mencarinya. Bukankah Allah telah berkata Dia akan membantu kita sekiranya kita ingin mencari ilmuNya? Mana mungkin Dia memungkiri janji! Aku mula sedar, kehidupan dunia ini hanya satu persinggahan, hanya sementara. Jangan tertipu dengan fashion akhir zaman. Diri kita ini sangat berharga, lebih berharga dari segala-galanya. Apakah kita suka maruah kita dipermainkan, dipertontonkan pada yang tidak sepatutnya? Setiap yang BERHARGA di muka bumi ini selalu sulit untuk didapatkan, tidak ditemukan berselerakan. Cuba kita perhati, emas dan perak ditemukan di dalam perut bumi, dilindungi berlapis-lapiss dalam tanah. Berlian ditemukan terlindung dan tertutup oleh batuan yang keras. Mutiara ditemukan di dasar laut terlindung oleh cengkerang yang keras. Muslimah, kita ini lebih berharga dari emas, perak, berlian dan mutiara. Kita seharusnya TERLINDUNG. Pakailah jilbab/kerudung/hijab dengan BENAR, bukan untuk membungkus rapat tubuh melainkan untuk menutupi keindahannya hanya untuk yang pantas melihat kita.
Akhir kata dari saya, jangan sesekali malu untuk berubah ke arah kebaikan. Pedulikan saja kata-kata sinis orang. Nanti di akhirat sana, kita yang akan menjawab di depan Tuhan bukan? Ayuh bersama menutup aurat dengan sempurna. Kita mampu mengubahnya! J
Saksikan video ini. Semoga bermanfaat. Semoga terinspirasi.
p/s: yang baik itu dari Allah, yang kurang baik itu adalah dari kelemahan saya sebagai seorang manusia biasa.

Friday, 17 August 2012

Wanita Solehah Lebih Baik Dari Bidadari Syurga


Wanita solehah tidak boleh sembarangan mencintai lelaki. Lelaki yang paling wajar dicintai oleh wanita solehah ialah Nabi Muhammad SAW. Ini kerana Nabi Muhammad SAW adalah pembela nasib kaum wanita. Baginda telah mengangkat martabat kaum wanita daripada diperlakukan dengan kehinaan pada zaman jahiliyah, khususnya oleh kaum lelaki.
Ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW juga berjaya menyempurnakan budi pekerti kaum lelaki. Ini membawa keuntungan kepada kaum wanita kerana mereka mendapat kebebasan dalam kawalan dan perlindungan keselamatan oleh kaum lelaki. Iaitu dengan mengikuti ajaran Nabi Muhammad SAW menjadikan bapa atau suami mereka berbuat baik dan bertanggungjawab ke atas keluarganya. Demikian juga dengan kedatangan Rasulullah SAW telah menjadikan anak-anak tidak lupa untuk berbakti kepada ibu mereka, cthnya seperti Uwais Al-Qarni.
Salah satu tanda kasih Baginda SAW terhadap kaum wanita ialah dengan berpesan kepada kaum lelaki agar berbuat baik kepada wanita, khususnya ahli keluarga mereka. Rasulullah SAW sendiri menjadikan diri dan keluarga baginda suri teladan kepada kaum lelaki untuk bagaimana berbuat baik dan memuliakan kaum wanita.
Rasulullah SAW bersabda,
“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya, dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Lagi sabda Rasulullah SAW,
“Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya; dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi.” (Riwayat Abu ‘Asakir)
Tapi betul ke wanita solehah itu lebih baik daripada bidadari syurga?
Daripada Umm Salamah, isteri Nabi SAW, katanya(di dalam sebuah hadis yang panjang):
Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?”
Baginda menjawab, “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.”
Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?”
Baginda menjawab, “Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih,berpakaian hijau dan berperhiasan kuning….(hingga akhir hadis)”(riwayat al-Tabrani)
Terkejut bila membaca hadis ni dan ingin berkongsi bersama rakan-rakan lain. Sungguh tinggi darjat wanita solehah, sehingga dikatakan lebih baik daripada bidadari syurga. Semoga hadis ini menjadi inspirasi bagi kita semua dalam memperbaiki diri agar menjadi lebih baik daripada bidadari syurga. InsyaAllah..
Tapi, bagaimana yang dikatakan wanita solehah itu?
Ikuti kisah berikut, semoga kita sama-sama beroleh pengajaran.
Seorang gadis kecil bertanya ayahnya “ayah ceritakanlah padaku perihal muslimah sejati?”
Si ayah pun menjawab “anakku,seorang muslimah sejati bukan dilihat dari kecantikan dan keayuan wajahnya semata-mata.wajahnya hanyalah satu peranan yang amat kecil,tetapi muslimah sejati dilihat dari kecantikan dan ketulusan hatinya yang tersembunyi.itulah yang terbaik”
Si ayah terus menyambung
“muslimah sejati juga tidak dilihat dari bentuk tubuh badannya yang mempersona,tetapi dilihat dari sejauh mana ia menutupi bentuk tubuhnya yang mempersona itu.muslimah sejati bukanlah dilihat dari sebanyak mana kebaikan yang diberikannya ,tetapi dari keikhlasan ketika ia memberikan segala kebaikan itu.muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa indah lantunan suaranya tetapi dilihat dari apa yang sering mulutnya bicarakan.muslimah sejati bukan dilihat dari keahliannya berbahasa,tetapi dilihat dari bagaimana caranya ia berbicara dan berhujah kebenaran”
Berdasarkan ayat 31,surah An Nurr,Abdullah ibn abbas dan lain-lainya berpendapat.Seseorang wanita islam hanya boleh mendedahkan wajah,dua tapak tangan dan cincinnya di hadapan lelaki yang bukan mahram(As syeikh said hawa di dalam kitabnya Al Asas fit Tasir)
“Janganlah perempuan -perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga menghairahkan orang yang ada perasaan dalam hatinya,tetapi ucapkanlah perkataan yang baik-baik”(surah Al Ahzab:32)
“lantas apa lagi ayah?”sahut puteri kecil terus ingin tahu.
“ketahuilah muslimah sejati bukan dilihat dari keberaniannya dalam berpakaian grand tetapi dilihat dari sejauh mana ia berani mempertahankan kehormatannya melalui apa yang dipakainya. Muslimah sejati bukan dilihat dari kekhuwatirannya digoda orang di tepi jalanan tetapi dilihat dari kekhuwatirannya dirinyalah yang mengundang orang tergoda.Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa banyak dan besarnya ujian yang ia jalani tetapi dilihat dari sejauh mana ia menghadapi ujian itu dengan penuh rasa redha dan kehambaan kepada TUHAN nya,dan ia sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan yang diberi”
“dan ingatlah anakku muslimah sejati bukan dilihat dari sifat mesranya dalam bergaul tetapi dilihat dari sejauh mana ia mampu menjaga kehormatan dirinya dalam bergaul”
Setelah itu si anak bertanya “Siapakah yang memiliki criteria seperti itu ayah? Bolehkah saya menjadi sepertinya? Mampu dan layakkah saya ayah?”
Si ayah memberikan sebuah buku dan berkata “Pelajarilah mereka! Supaya kamu berjaya nanti. INSYA ALLAH kamu juga boleh menjadi muslimah sejati dan wanita yang solehah kelak, malah semua wanita boleh”
Si anak pun segera mengambil buku tersebut lalu terlihatlah sebaris perkataan berbunyi ISTERI RASULULLAH.
“Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu ,puasa di bulan ramadhan ,menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya,maka masuklah ia ke dalam syurga dari pintu-pintu yang ia kehendakinya”(riwayat Al Bazzar)

Sumber: http://www.rakanmasjid.com/

Friday, 3 August 2012

Wanita Dan Perfume


Haruman daripada minyak wangi yang dipakai seorang wanita yang melintas di hadapan tadi masih kuat berbau walaupun wanita itu sudah hilang daripada pandangan.
Dalam hati memuji-muji bau haruman minyak wanginya dan tertanya-tanya jenama apakah minyak wangi yang dipakai oleh wanita itu.

Hmm, jika saya, yang juga seorang wanita pun terpikat dan sukakan bau yang datang daripada wanita itu, kaum Adam juga pasti menyukainya dan mereka pasti akan tertoleh-toleh untuk melihat gerangan wanita yang berbau sangat harum itu.
Jika hal demikian terjadi, maka berdosalah wanita itu kerana telah menarik minat (atau mungkin nafsu) kaum Adam terhadapnya.
Memang menjadi fitrah manusia sukakan sesuatu yang cantik dan wangi. Ini kerana Allah juga sukakan kecantikan dan menggalakkan hamba-Nya berhias dengan pakaian yang cantik untuk mengerjakan ibadah. Hal ini bersesuaian dengan maksud surah Al-A’raaf, ayat yang ke-31:
“Wahai anak-anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan solat), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas.”
Galakan untuk berhias ini bukan sahaja untuk kaum lelaki, bahkan juga untuk kaum wanita. Akan tetapi, perhiasan kaum wanita hanya terhad kepada golongan tertentu. Mereka tidak boleh berhias dan mempamerkan perhiasan mereka pada khalayak ramai seperti firman Allah dalam surah An-Nuur, ayat 31 yang bermaksud:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Terdapat beberapa hukum tentang wanita memakai minyak wangi iaitu harus, sunat, makruh dan haram. Wallahu’alam.

Harus
Seseorang wanita itu dikatakan harus memakai wangi-wangian ketika suami berada di rumah terutamanya ketika ingin melayan suami mereka. Selain daripada itu, wanita tidak diharuskan memakai wangi-wangian. Nabi s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu memandangnya sentiasa menyenangkan hati kamu…” (Riwayat an-Nasa’is dari Abu Hurairah)
Ini bererti seorang wanita itu haruslah sentiasa kelihatan menarik dari segi akhlak dan penampilannya agar dapat menyenangkan hati suaminya.

Sunat
Sunat bagi wanita berwangian ketika berada di rumahnya, ketika ingin menunaikan solat dan beribadah di dalam rumahnya, dan juga ketika menyambut tetamu wanita.
Terdapat hadis yang menjelaskan wanita juga digalakkan berwangi-wangian tetapi bukan pada tempat yang telah dilarang. Rasulullah telah bersabda yang bermaksud:
“Wangi-wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Sementara wangi-wangian wanita pula ialah yang cemerlang (jelas) warna dan tersembunyi baunya”(Riwayat al-Tarmizi)
Wanita juga disunatkan memakai wangian sebelum melakukan ihram. Aisyah r.a berkata:
“Kami (isteri-isteri Rasulullah s.a.w) pergi menunaikan haji bersama Rasulullah s.a.w. Ketika hendak berihram, kami memakai minyak wangi yang terbaik di kening kami. Ketika salah seorang di antara kami berpeluh, minyak wangi itu akan mengalir hingga ke muka dan Rasulullah s..aw melihat hal itu, tetapi tidak menegur kami (ertinya nabi s.a.w tidak melarang)” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Makruh
Hukum berwangi-wangian ketika berpuasa adalah makruh. Ini telah umum disepakati oleh ulama dan terdapat penjelasan dalam bab puasa.
Keterangan yang dapat dipegang dan dijadikan alasan ialah fatwa Imam Syafie dan Qaliyubi yang menyatakan “makruh memakai wangi-wangian ketika berpuasa”. Menurut Qaliyubi pendapat itu ialah pendapat ijmak.

Haram
“Seorang wanita yang memakai bau-bauan dan melintasi satu kaum (orang banyak) maka dia itu adalah perempuan zina” (Abu Dawud, Tirmidzi)
Nabi s.a.w bersabda:
“Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian keluar ke masjid nescaya tidak diterima solatnya sehingga ia mandi dahulu (membersihkan dirinya dari wangi-wangian tersebut).” (Sahih riwayat Ibnu Majah dari jalan Abu Hurairah)
Abu Hurairah menceritakan bahawa dia pernah bertemu dengan seorang wanita sedang pulang daripada masjid dan ia berbau wangiannya, lalu beliau menegur:
“Wahai hamba Allah, apakah kamu pulang dari masjid. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa Allah s.w.t tidak akan menerima solat wanita yang memakai bau-bauan ke masjid sehingga dia pulang dan mandi……” (Abu Daud, An-Nasaie, Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)
Abu Musa meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda:
“Setiap mata itu berzina (apabila memandang dengan nafsu wanita yang asing). Dan seorang wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melalui sesuatu majlis, maka ia adalah demikian, demikian…(penzina)” (Riwayat Tirmidzi)
Daripada hadis-hadis di atas, maka jelaslah bahawa kaum wanita diharamkan memakai wangi-wangian ketika keluar dari rumah dan juga dilarang berhias berlebih-lebihan kecuali di rumah terutamanya di hadapan suaminya.
Allah jualah yang Maha Mengetahui. Wassalam.

Friday, 27 July 2012

13 Perkara Yang Perlu Wanita Islam Jaga


1. Bulu kening
Menurut Bukhari, Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening – Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.
2. Kaki (tumit kaki) semacam hantu loceng
Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan – Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31. Keterangan : Menampakkan kaki dan menghayunkan/ melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng…sama juga seperti pelacur dizaman jahiliyah ….
3. Wangian
Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong kapal kata orang sekarang hidong belang – Petikan dari Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.
4. Dada
Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka – Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.
5. Gigi
Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya – Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani, Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.
6. Muka dan leher
Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu. Keterangan : Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.
7. Muka dan Tangan
Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecu ali pergelangan tangan dan wajah saja – Petikan dari Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari.
8. Tangan
Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya – Petikan dari Hadis Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.
9. Mata
Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya – Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.
Sabda Nabi Muhamad SAW, Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram – Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.
10. Mulut (suara)
Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik – Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 32.
Sabda SAW, Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi – Petikan dari Hadis Riwayat Ibn Majah.
11. Kemaluan
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka – Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.
Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya – Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.
Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah – Petikan dari Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.
12. Pakaian
Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti – Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu D , An Nasaii dan Ibn Majah.
Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 59. Bermaksud : Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah diken ali . Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang.
Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim. Keterangan : Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.
13. Rambut
Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam Neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Sumber: http://www.cahayaislam.net/

Friday, 23 March 2012

Wanita dalam perjuangan islam


Memperjuangkan Islam bukanlah suatu perkara mudah kerana terbukti di dalam sejarah bahawa Islam tertegak dengan mengalirnya darah para syuhada serta airmata balu-balu dan anak-anak yang mereka tinggalkan.


Memperjuangkan Islam bukanlah suatu perkara mudah kerana terbukti di dalam sejarah bahawa Islam tertegak dengan mengalirnya darah para syuhada serta airmata balu-balu dan anak-anak yang mereka tinggalkan. Perjuangan Islam menuntut bukan setakat masa, tetapi jiwa dan raga, pengorbanan dari segi harta dan kedudukan malah adakalanya menghambat nyawa. Firman Allah di dalam surah Al-Hujurat ayat 15 yang bermaksud:


“Sesungguhnya orang-orang yang beriman iaitu orang yang yakin dan percaya kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian tidak syak dan ragu-ragu (terhadap ajaran Allah dan Rasul-Nya) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka dan jiwa raga mereka kepada jalan Allah, mereka itulah orang yang sebenar-benarnya (pengakuan imannya)”


Itulah semangat yang ditunjukkan oleh umat-umat Islam terdahulu dan segelintir pejuang-pejuang Islam sekarang tanpa mengira lelaki ataupun perempuan. Malah orang yang mula-mula syahid dalam mempertahankan Islam pada zaman Rasulullah s.a.w adalah seorang wanita, Sumaiyah dari keluarga Yasir.


Jika kita mengkaji sejarah awal Islam, apa yang ditekankan oleh Rasulullah s.a.w ialah penghayatan kepada kalimah tauhid dan pembersihan dari sebarang bentuk syirik. Terbukti insan-insan yang bersih hatinya dari kesyirikan serta jelas ilmu mereka mengenai ketauhidan Allah s.w.t, dapat memperjuang dan mempertahankan Islam walau datang beribu rintangan sekali pun.



Insan-insan dari jenis inilah yang perlu ada di kalangan pejuang-pejuang Islam kini, termasuk wanita. Peranan wanita adalah amat penting dan besar sekali dalam perjuangan Islam kerana mereka merupakan pendidik anak-anak yang boleh dibentuk menjadi satu generasi pembela Islam yang amat diperlukan.


Sifat fizikal wanita yang lebih lemah daripada kaum lelaki terbukti bukanlah satu alasan untuk tidak terbabit dalam memperjuangkan Islam. Tetapi tanggungjawab menegakkan Islam turut terpikul di bahu mereka, mengikut kemampuan serta batasan yang ditentukan Allah s.w.t.


Bila memperkatakan wanita dalam perjuangan Islam, maka biasanya kita tidak dapat lari dari peranan yang mereka mainkan dalam membentuk keluarga muslim. Dari unit keluargalah tanggungjawab mereka bermula. Mendidik anak-anak memahami erti Islam sebenar, menyemai benih iman sejak kecil, mencorakkan akhlak mulia, selanjutnya menanamkan semangat memperjuangkan dan mempertahankan Islam dalam diri mereka.


Tugas ini tidak sepatutnya dilihat sebagai tugas umum wanita, iaitu mendidik anak-anak serta menguruskan rumahtangga. Tetapi wajar dititik beratkan sebagai tanggungjawab muslimah dan sumbangan atau jihad mereka dalam Islam. Bila tugas-tugas ini dikaitkan dengan jihad Islam, maka sewajarnya ia dijalankan dengan penuh kerelaan dan dipikul sebaik-baiknya.


Urusan mewujudkan rumahtangga muslim dan mendidik generasi Islam yang beriman, berakhlak mulia serta bersemangat jihad merupakan tugas utama wanita. Bagaimanapun tidak bermakna mereka tidak boleh memperjuangkan Islam dengan cara lain bila keadaan memerlukan.


Pada zaman Rasulullah s.a.w para muslimat bukan hanya berfungsi sebagai penghias rumah atau melahirkan zuriat semata-mata. Tetapi mereka berperanan membantu kaum lelaki dalam jihad menegakkan Islam, meniup semangat kepada mereka dengan meredhai perjuangan suami malah bila diperlukan mereka bersama-sama kaum lelaki dalam pertempuran.
Begitulah semangat perjuangan yang mereka tunjukkan, mereka pertahankan agama Allah dengan nyawa dan bukan sekadar seorang suami, bapa, anak-anak atau saudara sedarah sedaging.


Sekiranya sekarang kita dapat mewujudkan muslimah-muslimah sebegini, Insya-Allah satu generasi pejuang Islam yang tidak gentar menghadapi musuh dapat dibentuk.


Peranan wanita dalam memperjuangkan Islam tidak sepatutnya hanya tertumpu kepada soal rumahtangga semata-mata. Apakah peranan yang sepatutnya dimainkan oleh mereka yang masih belum bersuami, tidak mempunyai anak atau anak-anaknya sudah dewasa dan tidak memerlukan banyak penjagaan lagi?


Tenaga mereka amat diperlukan dalam perjuangan Islam. Mereka boleh bergiat dalam masyarakat, menjalankan dakwah; memberi kesedaran dan ilmu Islam kepada masyarakat sejenisnya yang masih belum mengenali Islam. Perkara ini amat perlu ditekankan kerana terdapat kecenderungan di kalangan ahli jamaah yang meluangkan waktu untuk mempengaruhi ahli jamaah Islam lain untuk menyertai jamaahnya. Tindakan seumpama ini tidak langsung menguntungkan Islam, kerana dakwah Islam perlu sampai kepada semua peringkat masyarakat, terutama mereka yang masih belum memahami apakah Islam sebenar.


Wanita perlu didedahkan dengan masalah sebenar masyarakat Islam dalam menghadapi musuh. Mereka perlu menyedari bahawa wanita mempunyai kuasa dan tenaga tersendiri untuk memperjuangkan dan melaksanakan Islam dalam berbagai bidang, termasuk dalam menegakkan Daulah Islamiyyah.


Tidak timbul persoalan bahawa bidang politik adalah bidang orang lelaki kerana setiap muslim atau muslimah itu mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk sama-sama berusaha untuk menegakkan sebuah negara Islam. Firman Allah di dalam surah at-Taubah ayat 71 yang bermaksud:


“Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka adalah menjadi penolong keatas sebagaian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang ma’ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan sembahyang menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”


Di dalam negara yang majoriti undinya adalah di tangan wanita, para muslimah hendaklah lebih giat membantu kaum lelaki dengan memberi kesedaran kepada kaum sejenisnya untuk memberi sokongan kepada golongan yang memperjuangkan Islam. Mereka perlu menyakinkan golongan yang masih tidak menyedari atau meyakini bahawa pemerintahan berteraskan Islam adalah yang terbaik.


Untuk menjalankan usaha ini, para Muslimat hendaklah membuat persediaan awal. Kerja-kerja dakwah sebegini tidak mungkin dapat berjalan lancar sekiranya kita tidak mempunyai ilmu dan hikmah. Kerana tanpa ilmu dan hikmah, bukan sahaja kita tidak mampu meyakinkan mereka, tetapi mungkin juga membawa perpecahan.


Selain itu juga, muslimah-muslimah yang terbabit dalam memperjuangkan Islam mestilah sentiasa beristiqamah dengan perjuangan. Tidak bersikap hangat-hangat tahi ayam, aktif semasa bujang, tetapi meninggalkan terus perjuangan setelah berumahtangga.


Alangkah ruginya jamaah sekiranya ramai muslimat bersikap begini. Mereka hendaklah terus berjuang sedaya mungkin kerana kerja-kerja dakwah itu tidak sepatutnya terhenti atas alasan sudah berkahwin. Yang penting ialah mereka bijak mengurus masa dan tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri mahupun ibu dalam menjalankan kerja-kerja dakwah.


Sebagai muslimah-muslimah yang yang memilih untuk memperjuangkan Islam melalui jamaah maka kita perlu mengetahui dengan mendalam mengenai apa yang dikehendaki oleh jamaah. Kita hendaklah beriltizam di tempat bertugas dan setiap suasana hidupnya hendaklah diselaraskan dengan kebaikan dan kepentingan amal dakwah. Setiap amalnya harus menjadi alat dakwah dan usaha atau aktiviti dakwahnya tidak sepatutnya dilemahkan oleh sesuatu perkara lain.


Apa yang penting ialah setiap muslimah yang terbabit dalam perjuangan Islam mestilah memahami dengan jelas matlamatnya dan menepati al-Quran dan Hadith. Mereka mestilah bersedia dengan ilmu, kerana tanpanya segala usaha perjuangan Islam tidak mungkin dapat dijayakan. Firman Allah di dalam surah Az-Zumar ayat 9 yang bermaksud:


“…Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”. Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran”


Firman Allah lagi di dalam surah Al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud:


“…Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat…”


Selain daripada itu, para muslimat juga mestilah mempunyai ketahanan iman, sabar, istiqamah dalam menjalankan amal dan berani. Baginya tempat pergantungan sebenar bukanlah daripada orang yang berkuasa di dunia, suami atau orang lain, tetapi Allah s.w.t. Firman Allah di dalam surah Al-Maidah ayat 55-56 yang bermaksud:


“Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). Dan barang siapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya Golongan Allah itulah yang pasti Menang”


Peranan wanita dalam perjuangan Islam sememangnya bermula dalam ruang rumah bersama ahli-ahli keluarga; iaitu suami dan anak-anak. Tetapi tidak bermakna kaki dan tangan mereka terikat di luar rumah sehingga tidak boleh digerakkan untuk kepentingan masyarakat luar, khususnya di kalangan wanita sendiri.


Firman Allah di dalam surah Al-Ahzab ayat 35:


“Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang beriman, laki-laki dan perempuan yang mu’min, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam kereta’atannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyu’, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar”


“ya Allah, rahmatilah wanita-wanita yang jiwanya ada dalam kekuasaanmu. Ummi Hawa, isteri-isteri nabi dan Rosul, putri-putri mereka, para sahabat mereka, dan kami, muslimah-muslimah yang selalu dilindungi dengan payung-payung Islam-Mu”

Amin ya rabba al alamin..