“Dan, janganlah kamu bersikap lemah dan jangan (pula) bersedih hati….”
“…dan janganlah kamu bersedih hati terhadap mereka….” (Al-hijr: 88)
“…janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah selalu bersama kita… (At-Taubah: 40)
Adapun firman Allah yang menunjukkan bahawa kesedihan itu tidak bermanfaat apa pun adalah:
“…nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”
(Al-Baqarah: 38)
Kesedihan itu hanya akan memadamkan api motivasi, membunuh roh semangat dan membekukan jiwa. Dan kesedihan itu ibarat penyakit demam yang akan membuat tubuh menjadi lemas dan seterusnya tidak berdaya. Mengapa berlaku sedemikian?
Ini adalah kerana kesedihan hanya memiliki daya yang menghentikan dan bukan menggerakkan. Rahsia untuk menghindari itu semua adalah dengan menanam prinsip bahawa kesedihan adalah sesuatu yang boleh ditangani, bukan sesuatu yang tidak boleh dikawal sehingga kita harus menyerah kepadanya. Kesedihan juga sama sekali tidak mendatangkan manfaat bagi hati, bahkan ia merupakan sesuatu yang amat disenangi oleh syaitan. Maka dari itu, syaitan selalu berusaha agar seseorang hamba itu bersedih untuk menghentikan setiap aktiviti dan niat baiknya. Ini telah dinyatakan Allah dalam firmanNya:
“Sesungguhnya pembicaraan rahsia itu adalah dari syaitan supaya orang-orang mukmin berdukacita…” (Al-Mujadilah:10)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam prnah melarang tiga orang yang sedang berada dalam satu majlis melakukan sedemikian: “(Janganlah dua orang di antaranya) saling melakukan pembicaraan rahsia tanpa di sertai yang ketiga, sebab yang demikian itu akan membuatnya (yang ketiga) berdukacita.” Dan bagi seorang mukmin, kesedihan itu tidak diinginkan dan tidak pula diharapkan kerana kesedihan merupakan penyakit yang berbahaya bagi jiwa. Oleh kerana itu, setiap muslim diperintahkan supaya membuangnya jauh-jauh dan dilarang tunduk kepadanya. Islam juga mengajarkan kepada setiap muslim agar sentiasa melawan dan menundukkannya dengan segala perlatan yang telah disyari’atkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Kesedihan itu bukanlah sesuatu yang diari-cari dan bukan pula sesuatu yang diharapkan, bahkan ia tidak mendatangkan sebarang manfaat. Oleh yang demikian, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sentiasa memohon perlindungan dari Allah agar dijauhkan dari kesedihan. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam selalu berdoa seperti berikut:
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari kecemasan dan kesedihan.”
Kesedihan adalah merupakan sahabat akrab kecemasan. Adapun perbezaan di antara keduanya ialah; apabila sesuatu perkara yang tidak disukai hati itu dan ia belum terjadi, ia akan meninbulkan kecemasan. Namun apabila sesuatu kejadian yang tidak diingini dan ia telah terjadi, maka ia akan menimbulkan kesedihan. Manakala persamaannya pula ialah, kedua-duanya boleh melemahkan semangat beraktiviti dan mematikan kehendak hati untuk berbuat suatu kebaikan.
Kesedihan boleh mengotori kehidupan dan ia juga merupakan suntikan beracun yang berbisa yang boleh mengakibatkan kelesuan, keluhan dan kebingungan. Kesedihan juga boleh membawa kepada kemurungan yang menggelapkan hati dan akan membuat seluruh keindahan menjadi layu. Dengan kesedihan, keadaan yang baik berubah menjadi buruk dan kehidupan yang menggembirakan menjadi mati kerana kesedihan pada akhirnya akan menumbuhkan pesimisme, penyesalan dan kebinasaan diri yang tiada tara.
Meskipun demikian, pada tahap tertentu kesedihan memang tidak dapat dihindari dan ianya pasti akan dilalui oleh seseorang. Oleh kerana itu, disebutkan bahawa para ahli syurga ketika memasuki syurga akan berkata:
“…segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan dukacita kami…” (Fathir:34)
Ini menunjukkan bahawa mereka pernah mengalami kesedihan ketika hidup di dunia dahulu. Berbagai macam musibah lain juga turut menimpa mereka tanpa ada pilihan bagi mereka untuk menolak atau menerimanya. Apabila kesedihan itu menimpa, tidak ada kemampuan bagi jiwa untuk menghindarnya, maka kesedihan itu justeru akan mendatangkan pahala. Ini adalah kerana kesedihan yang demikian itu merupakan sebahagian daripada musibah atau cubaan. Oleh yang demikian, ketika seseorang hamba ditimpa kesedihan hendaklah ia sentiasa melawannya dengan doa-doa dan cara-cara lain yang dapat mengusir kesedihan tersebut.
“dan, tiada (pula dosa) atas orang-orang yang apabila mereka datang kepadamu, supaya kamu memberi mereka kenderaan, lalu kamu berkata: “Aku tidak memperoleh kenderaan untuk membawamu”, lalu mereka kembali sedang mata mereka bercucuran air mata kerana kesedihan, lantaran mereka tidak memperoleh apa yang mereka nafkahkan. (At-Taubah: 92)
Demikianlah, bahawa pujian atas kesedihan para sahabat dalam ayat tersebut tidaklah ditujukan kepada kesedihan itu sendiri, tetapi ditujukan kepada penyebab mengapa mereka harus bersedih, iaitu kekuatan iman mereka. Kerana kuatnya iman para sahabat, mereka bersedih kerana tidak dapat turut berjihad bersama. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, disebabkan tidak mempunyai harta yang akan dibelanjakan dan kenderaan untuk membawa mereka pergi berperang. Ayat ini juga merupakan peringatan bagi orang-orang munafik yang tidak merasa bersedih, bahkan mereka gembira menakala tidak mendapat kesempatan unuk turut berjihad bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Terpuji atau sebaliknya bagi suatu kesedihan itu boleh dilihat dari sebab mengapa seseorang itu bersedih. Kesedihan yang terpuji adalah kesedihan yang disebabkan oleh ketidakmampuan menjalankan suatu ketaatan atau dikeranakan tersungkur dalam jurang kemaksiatan. Dan kesedihan seorang hamba yang disebabkan oleh kesedaran bahawa kurangnya ketaatan dan kelengahannya dalam mendekatkan diri kepada Allah, maka hal itu menandakan bahawa hatinya hidup dan terbuka untuk menerima hidayah dan cahayaNya.
Sementara itu, makna sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebuah hadith sahih yang berbunyi:
“Tidaklah seorang mukmin dilanda kecemasan, kelelahan dan kesedihan, melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya.”
Ianya menunjukkan bahawa kesedihan, kegundahan dan kerisauan itu merupakan musibah dari Allah yang apabila menimpa seorang hamba, maka hamba tersebut akan diampuni sebahagian dosa-dosanya. Dengan begitu, hadith ini bererti tidak menunjukkan bahawa kesedihan, kegundahan dan kerisauan merupakan keadaan yang harus diminta dan dirasakan.
Bahkan, seorang hamba justeru tidak dibenarkan meminta atau mengharap kesedihan dan mengira bahawa kesedihan itu merupakan sebuah ibadah yang diperintahkan, diredhai atau disyariat Allah untuk hambaNya. Sekiranya kesedihan itu dibenarkan dan diperintahkan Allah, pastilah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam akan menjadi orang pertama yang akan mengisi seluruh hidupnya dengan kesedihan-kesedihan dan akan menghabiskannya dengan kegundahan-kegundahan. Dan hal seperti itu sudah tentu tidak mungkin kerana sebagaimana yang kita ketahui, hati beliau sentiasa lapang dan wajahnya selalu dihiasi dengan senyuman, hatinya sentiasa diliputi keredhaan dan perjalanan hidupnya sentiasa dihiasi dengan kegembiraan.
Adapun hadith Hindun bin Abi Halah mengenal sifat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, disebutkan bahawa:“Sesungguhnya beliau selalu berada dalam kesedihan.”
Namun, hadith ini ternyata kurang dipercayai; sebab dalam silsilah perawinya terdapat seorang perawi yang tidak dikenali. Selain daripada itu muatan dalam hadith ini jelas sangat bertentangan dengan realiti kehidupan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Bagaimana mungkin Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dikatakan selalu berada di dalam kesedihan, sedangkan Allah Ta’ala telah menjaga beliau dari kesedihan yang berkaitan dengan urusan keduniaan dsan segala unsur-unsurnya. Allah juga turut melarang beliau daripada merasa kesedihan di atas perilaku orang-orang kafir. Bahkan Allah telah mengampuni dosa-dosanya yang terdahulu, mahupun yang akan datang. Oleh itu, dari manakah datangnya sumber kesedihan itu? Bagaimana pula kesedihan itu dapat menembusi pintu hati beliau? Dan dari jalan manakah kesedihan itu dapat menyusup ke dalam lubuk hati beliau? Padahal, bukankah beliau Shallallahu ‘alaihi wasallam sentiasa berzikir, sentiasa istiqamah,sentiasa berada dalam hidayah rabbaniyyah dan hatinya sentiasa tenteram dengan janji Allah dan redha dengan semua ketentuan dan perbuatanNya? Bahkan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah seorang yang terkenal dengan sifat yang ramah dan murah dengan senyuman sebagaimana digambarkan oleh salah satu gelarannya sebagai “seseorang yang murah senyum dan penumpas (kesedihan dan kebatilan).” Semoga selawat dan salam sentiasa tercurah kepada beliau.
Siapa saja membaca, menghayati dan mendalami sejarah perjalanan hidup beliau dengan saksama dan menyeluruh, maka ia akan mengetahui bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam diturunkan ke dunia ini untuk menghancurkan kebatilan, mengusir kegelisahan, kecemasan, kedukaan dan kesedihan, serta membebaskan jiwa dari tekanan keragu-raguan, kebingungan,kegundahan dan kegoncangan. Bersamaan dengan itu, beliau juga diutus untuk menyelamatkan jiwa manusia dari segala bentuk hawa nafsu yang membinasakan. Maka betapa banyaknya kurniaan Allah yang telah dianugerahkan kepada manusia.
Terdapat sebuah hadith yang menyebutkan bahawa:
“Sesungguhnya Allah menyukai setiap hati yang merasa sedih.”
Namun, hadith ini ternyata tidak diketahui sanadnya (jalur periwayatan) dan siapa yang meriwayatkannya. Hadith ini tidak diketahui kesahihannya. Selain itu, hadith ini juga tidak dapat diketegorikan sahih keranan ianya sangat bertentangan dengan ajaran agama dan tuntutan syariat. Dan sekiranya memang khabar (hadith) itu dianggap sahih, maka penjelasannya adalah seperti berikut yakni kesedihan itu adalah salah satu musibah dari Allah yang ditimpakan kepada hambanya untuk mengujinya. Ertinya : Jika hamba tersebut mampu menghadapinya dengan kesabaran, maka sesungguhnya Allah mencintai kesabaran orang tersebut dalam menghadapi cubaan itu.
Demikianlah, maka merupakan suatu kesalahan yang besar bagi mereka yang memuja kesedihan, sentiasa berusaha mencipta kesedihan dan cuba membenarkan kesedihan mereka dengan dalih mengatakan bahawa ianya telah diperintahkan dan dibenarkan syariat. Ia tidak memahami bahawa syariat justeru melarang daripada bersedih dan memerintahkan sebaliknya iaitu merasa gembira terhadap rahmat Allah dan anugerahNya, merasa redha terhadap syariat yang diturunkan Allah kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, bergembiralah dengan kebaikan yang diberkahi yang turun dari langit menuju para kekasih Allah.
Hadith lain menyebutkan:
“Jika Allah menyukai seorang hamba, Dia akan memberikan di hatinya suatu kesedihan yang amat mendalam. Bila Dia membenci seorang hamba, dia akan menjadikan dalam hatinya seruling kesenangan.”
Hadith ini bersumber dan berasal dari riwayat Israiliyat (riwayat yang berasal dari Bani Israil). Ada pula yang mengatakan bahawa hadith ini termaktub dalam Taurat. Meskipun demikian, perkataan ini memiliki makna yang benar. Ini adalah kerana, sebagaimana yang sering kita lihat, orang mukmin akan sentiasa betrsedih atas dosa-dosa yang pernah dilakukannya, sementara orang yang fasiq pula akan sentiasa lalai, meremehkan dan merasa senang dan bangga dengan dosa-dosanya. Dan sekiranya orang-orang mukmin ini bersedih, maka itu adalah kerana mereka telah melewatkan kesempatan untuk berbuat demikian, menyia-nyiakan waktu untuk mencapai darjat yang tinggi di sisi Allah dan kesedaran bahawa mereka telah melakukan banyak kesalahan. Hal ini berbezadengan kesedihan orang yang fasiq. Mereka bersedih kerana kehilangan sesuatu yang bersifat duniawi termasuk syahwatnya, kenikmatannya, keuntungannya dan berbagai keinginannya. Kesedihan, kegundahan dan kegelisahan mereka adalah kerana keduniaan, demi keduniaan dan untuk keduniaan.
Dalam sebuah firmanNya, Allah menceritakan keadaan seorang nabi dari Bani Israil (Nabi Ya’akub ‘Alaihissalam):
“dan kedua matanya menjadi putih kerana kesedihan dan dia adalah seorang yang menahan amarahnya (kepada anak-anaknya) (Yusuf: 84)
Ayat ini mengkhabarkan tentang kesedihan Nabi Ya’akub ‘Alaihissalam ketika beliau kehilangan anaknya (Bunyamin) dan anak yang dikasihinya (Nabi Yusuf ‘Alaihissalam). Nabi Ya’akub ‘Alaihissalam mendapat ujian seperti itu (kehilangan Bunyamin) adalah sebagaimana halnya dia pernah mendapat ujian dengan berpisahnya antara dirinya dengan anak yang dikasihinya (Nabi Yusuf ‘Alaihissalam)
Betapapun, ayat di atas hanya sekadar memberi khabar dan gambaran betapa beratnya cubaan seorang nabi. Dan itu bukan bererti bahawa kesedihan seperti itu diperintahkan atau dianjurkan. Bahkan justeru sebaliknya; kita diperintahkan supaya memohon perlindungan kepada Allah dari segala kesedihan. Ini adalah kerana kesedihan itu laksana awan tebal, malam pekat yang panjang dan merupakan aral yang panjang melintang di tengah jalan menuju ke arah kemuliaan.
Selain Abu Uthman Al-Jabari, semua ahli sufi sepakat bahawa bersedih kerana perkara duniawi itu tidak terpuji, menurut Abu Uthman, kesedihan itu walau apa jua bentuknya adalah merupakan sebuah keutamaan dan tambahan kebajikan bagi seorang mukmin selama mana kesedihan itu bukan dikeranakan suatu kemaksiatan. Ia juga mengatakan: “Kesedihan itu tidak diwajibkan dengan dalil khusus (takhshish), tetapi diwajibkan secara tamhish (dengan sebab tertentu).”
Pendapat Abu Uthman Al-Jabari ini boleh disanggah dengan berikut: “tidak diragukan lagi bahawa kesedihan merupakan ujian dan cubaan dari Allah sebagaimana halnya dengan cubaan penyakit, kegundahan dan dukacita. Namun, jika kesedihan dijadikan sebagai alat untuk mencapai darjat yang tinggi, hal itu adlah tidak benar.”
Atas dasar itu, sebaiknya anda berusaha untuk sentiasa gembira dan berlapang dada. Jangan lupa memohon kepada Allah agar selalu diberi kehidupan yang baik dan diredhai, kejernihan hati dan kelapangan fikiran. Ini semua adalah merupakan sebaik-baik nikmat di dunia sehingga sebahagian orang berkata: Sesungguhnya di dunia ini terdapat syurga, siapa sahaja yang tidak memasukinya, ia tidak akan syurga di akhirat.
Hanya Allahlah satu-satunya dzat yang layak kita mohon agar Dia berkenan melapangkan dada hati kita dengan cahaya iman, menunjukkan hati kepada jalanNya yang lurus, dan menyelamatkan kita dari kehidupan yang susah dan menyempitkan.
Renungan
Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa yang mestajab dan penuh ketulusan, yakni doa untuk menghilangkan kedukaan, kecemasan dan kesedihan:
“Tiada Tuhan selain Allah yang Maha Agung lagi Maha Penyantun. Tiada Tuhan selain Allah, Tuhan pemilik ‘Arasy yang agung. Tiada Tuhan selain Allah, Tuhan yang pencipta dan Penguasa langit dan bumi dan Tuhan pemilik ‘Arasy yang mulia. Wahai Dzat yang Maha Hidup dan Maha Berdiri sendiri, tiada Tuhan selain Engkau; dengan rahmatMu, aku memohon pertolongan.”
“ Ya Allah, hanya rahmatMu yang kuharapkan, maka janganlah Engkau biarkan diriku terlepas dari kasih-sayangMu sekelip mata pun dan perbaikilah selalu keadaanku, tiada Tuhan selain Engkau.”
“Aku memohon ampun kepada Allah, yang tiada Tuhan selain Dia, yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri sendiri, dan aku bertaubat kepadaNya.”
“Tiada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang telah berbuat zalim.”
“Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu dan anak dari hamba lelaki dan hamba perempuanMu. Hidupku di tanganMu. Telah berlalu qadhaMu padaku dan sungguh adil hukuman yang Engkau putuskan terhadapku. Aku memohon kepadaMu dengan semua nama yang Engkau miliki, yang dengannya Engkau namakan diriMu sendiri, yang Engkau cantumkan dalam KitabMu, yang telah Engkau ajarkan kepada seseorang di antara makhlukMu (NabiMu) atau dengan semua namaMu yang masih tersimpan dalam pengetahuan ghaib yang ada disisiMu, agar kiranya Engkau berkenan menjadikan Al-Qur’an sesuatu yang rimbun dalam hatiku, cahaya dadaku, penglipur kesedihanku dan pengusir kecemasanku.”
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepadaMu dari kecemasan dan kesedihan, kelemahan dan kemalasan, kekikiran dan sifat penakut, dan dari bebanan hutang dan tekanan orang-orang (jahat).”
‘Cukuplah Allah bagi kita dan Dia adalah sebagai sebaik-baik Pelindung…”(Ali-‘Imran : 173)
Petikan dari:
ReplyDelete31- Kesedihan bukan keharusan : La tahzan- Dr. Aidh Bin Abdullah Al-Qarni