> Dalam bukunya THE Malay Dilemma Dr. Mahathir juga memberikan pandangan berterus-terang mengenai sikap orang Melayu yang disifatkannya sebagai tidak progresif berbanding dengan orang Cina. Beliau juga menerangkan sebab-sebab tercetusnya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Selepas peristiwa 13 Mei 1969, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan oleh Tun Abdul Razak yang menjanjikan kedudukan melayu yang selesa apabila tempoh perlaksanaannya tamat pada 1990. Tetapi apabila tempoh in ihampir berakhir (pada tahun 1990) dan matlamat 30% ekonomi untuk melayu ini jelas tidak mencapai sasaran.
Mengulas kegagalan itu, Dr. Mahathir turut menyifatkan orang Melayu sebagai kaum yang lebih suka mendapatkan keuntungan dalam jangka masa pendek, tidak suka berusaha keras dan tidak rajin seperti orang Cina. Beliau juga mengkritik sikap orang Melayu yang berkongsi niaga dengan orang Cina kerana mereka lebih cenderung menerima jumlah wang yang tetap bagi lesen perniagaan dimiliki dan langsung tidak mengambil bahagian dalam perniagaan terbabit.
Selain itu, beliau turut memberi amaran andainya semua perlindungan yang dinikmati kaum Melayu sekarang, hasil daripada kuasa politik yang mereka miliki dimansuhkan, maka orang Melayu akan berdepan semula dengan hukum primitif iaitu mereka yang terkuat dan sihat sahaja akan terus hidup.
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengakui Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah disalah-gunakan oleh orang Melayu bagi mendapatkan kekayaan segera tetapi mempertahankan agar program kontroversial itu diteruskan Dr Mahathir berkata kumpulan Melayu berkenaan yang sebenarnya menyebabkan sasaran mendapatkan 30 peratus ekuiti bumiputera tidak tercapai.
Mengenai ketuanan Melayu yang sering disebutkan mutakhir ini, katanya orang Melayu perlu berusaha, mempunyai sumber kewangan yang halal dan cukup sekiranya mahu mengekalkan konsep tersebut.
"Kalau nak jadi tuan kena lengkapkan diri dengan ilmu dan kecekapan, apakah dapat jadi tuan sedangkan orang lain suruh kita buat kerja yang bukan kerja tuan, kalau nak majukan diri, mesti tolak nilai hidup yang tidak sesuai dengan kemajuan pada masa kini," katanya.
Orang Melayu kini berdepan dengan dilema yang besar apabila mereka tidak lagi boleh berkata tentang bangsa sendiri kerana akan dilabelkan sebagai rasis. Dilema ini bukan disebabkan orang lain tetapi orang Melayu sendiri kerana mereka tidak mampu untuk mempertahankan diri sendiri dan sentiasa mengalah serta mengundur diri apabila berlaku sesuatu krisis. Sifat mudah mengalah itu sebenarnya akan merugikan orang Melayu dan sekiranya mereka terus berpegang dengan nilai hidup sebegini, lama-kelamaan kedudukan orang Melayu di negara ini akan terhakis.
Bangsa Melayu kini dilihat berada dalam kedudukan yang lemah kerana sudah berpecah kepada tiga kumpulan politik iaitu Umno, PAS dan PKR menyebabkan agenda untuk memajukan masa depan mereka sukar dilaksanakan, walaupun kerajaan kini di bawah kepimpinan orang Melayu.
Apa yang lebih menyedihkan, kata Dr Mahathir, ada orang Melayu yang terlalu asyik meminta sokongan kaum lain sehingga sanggup menyerahkan apa sahaja kepada kaum lain tanpa memikirkan implikasinya kemudian hari.
"Kalau bergantung kepada orang lain, lama-lama kita akan duduk di bawah perintah mereka, secara tidak langsung kita akan menjadi bangsa yang lemah kerana berpecah-belah.
"Walaupun dipilih untuk memerintah negara kita ini, sebenarnya kita tidak berkuasa kerana orang yang membantu kita akan desak supaya kita menghormati pendapat mereka, ini yang akan berlaku," kata Dr Mahathir yang berpendapat maju mundurnya bangsa Melayu terletak kepada diri orang Melayu itu sendiri
2. Kurang Tidur Badan Sihat
> Seorang pakar mengenai tidur berpendapat, kurang tidur bukan sahaja bermakna anda mempunyai banyak masa malah anda berasa segar dan dapat bergerak lebih cergas .
Para penyelidik mengenai tidur pula menegaskan hampir setiap orang boleh mengurangkan tidur tanpa mengganggu kesihatannya. Walaupun anda memerlukan tidur , tetapi tidak terlalu banyak seperti kebanyakan orang lain.
"Tetapi untuk mengurangkan satu atau dua jam lebihan tidur itu, anda mestilah berusaha", kata Dr Nathaniel Kleitman dari Universiti Chicago. Tambah beliau,”anda boleh melatih diri sendiri untuk mengubahnya, seperti mana orang cuba mencuba menghadkan makan dan minum untuk mengurangkan berat badan. Tetapi anda mestilah bersedia untuk itu. Jika anda mempunyai insentif ataupun keinginan untuk berjaga , tentu sekali anda akan mengurangkan masa tidur anda”.
Kebanyakan kita terlalu banyak tidur tanpa tujuan berfaedah. Umpamanya jika kita berasa tidak berapa sihat, kita mahu berada di tempat tidur lebih lama. Keadaan tegang dan gelisah juga membuat seseorang itu ingin tidur lebih lama. Orang yang tenang tidak memerlukan banyak tidur. Orang yang tidak banyak tidur lebih bertenaga dan berasa lebih yakin dan riang. kata Dr Ernest Hartmann, ketua makmal mengenai penyelidikan tidur di hospital Boston.
Program berikut telah direka dengan teliti untuk mengurangkan masa tidur secara berkesan dan lebih selamat.
Lakukan secara beransur-ansur dan bersenam secara sederhana. Dan ikutilah keperluan badan dan perasaan anda sepanjang waktu itu.
Rancangkan terlebih dahulu apa yang akan anda lakukan dengan masa terluang itu.
Pastikan anda betul-betul tenang ketika mula-mula menjalankan program untuk mengurangkan tidur . cuba kurangkan tidur ketika anda memerlukannya – seperti dalam keadaan tegang, kerja lebih, demam – adalah perbuatan sia-sia.
Jumlah masa yang biasa anda habiskan untuk tidur dalam tempoh dua minggu. Tujuan utamanya ialah untuk mengetahui apa yang anda rasa dengan jumlah masa yang biasa anda habiskan untuk tidur itu. Kemudian, bila masa tidur anda kurangkan, anda akan tahu bagaimana keadaan anda telah berubah dengan mengamalkan masa tidur yang baru.
Cuba tidur sama lama setiap malam, dan pada waktu yang ditetapkan. Jika anda tidak tidur pada waktu yang ditetapkan, sebarang jenis penyesuaian yang dilakukan akan bertambah rumit.
Kurangkan masa tidur anda secara beransur-ansur. Jika anda cuba mengamalkan program kurangkan tidur ini secara mendadak, anda akan hanya berasa penat dan gagal. Cuba kurangkan 30 minit dahulu untuk beberapa malam, cadang pakar mengenai tidur. Pada satu ketika nanti anda akan dapati bahawa masa tidur yang anda habiskan hanya 7 ½ jam. Ingat, sebelum terus mengurangkan tidur, lebih baik dikekalkan waktu tidur yang baru itu buat beberapa waktu. Purata yang baik ialah di antara empat hingga enam minggu bagi setiap setengah jam pengurangan masa tidur.
Anda mungkin berasa tidak senang sebelum dapat menyesuaikan dengan keadaan masa tidur yang baru. Pada permulaannya, biasanya terasa mengantuk, letih dan tidak bermaya. Anda mungkin mendapati diri anda mudah terganggu atau mengalami tanda-tanda fizikal seperti merah mata. Keadaan seperti ini akan hilang antara sepuluh hari hingga dua minggu.
Janganlah memaksa diri anda. Berpatah balik ke peringkat masa tidur sebelumnya jika anda menghadapi apa-apa masalah yang berkaitan dengan masa tidur yang baru. Anda juga patut menerima kenyataan bahawa ada batas tertentu di mana anda boleh mengurangkan masa tidur anda. Enam jam untuk tidur semalam adalah masa yang paling sesuai oleh seseorang. Orang yang sihat biasanya tidak tidur lebih daripada enam jam.
Jika anda menghadapi masa yang tegang, cuba hadapi program tidur anda itu dengan tenang sehinggalah ketegangan itu reda sedikit. Ubah program tidur anda itu supaya sesuai dengan anda dan jangan teruskan jika anda berasa kurang sihat.
Belajar dengan membiasakan diri dengan ‘tidur sekejap’ (biasanya waktu tengahari dan tidak semestinya di atas katil). Sekiraranya anda dapat melapangkan masa untuk tidur sekejap waktu tenghari, anda akan lebih mudah dapat luangkan masa tidur malam dari lapan jam kepada enam jam. Tetapi tidur sekejap di waktu siang itu tidak di atas katil, kerana ini mungkin mengganggu tidur malam anda.
Jika anda mengalami kesulitan dengan program tidur itu. Bolehlah anda tambah masa tidur selama 30 minit lagi pada hari minggu. Tetapi jangan lebih daripada itu, atau sebaliknya anda akan mengalami kesulitan untuk menyesuaikan diri dengan peringkat masa tidur yang baru kemudiannya.
Tidur hanyalah satu aspek daripada kehidupan . Ingat anda boleh mengurangkan jumlah masa yang anda habiskan untuk tidur, tetapi anda juga mestilah mengatur masa berjaga anda. Gunakan masa lebihan sewaktu berjaga itu untuk melakukan kerja yang lebih bermanafaat yang selama ini anda sia-siakan. Berusaha dan alamilah sendiri.
Sumber
Dewan Masyarakat, ms35
Jilid XVIII Bil.6
15 Jun 1980
3. Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan dan Gaya Hidup Digital
Pada tahun 2010,Kerajaan telah pun berjaya mencapai tahap penembusan jalur lebar isi rumah iaitu 54.9% dan melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 50%. Kerajaan telah menetapkan sasaran baru iaitu sebanyak 75% pada 2015. Usaha-usaha kerajaan menyediakan perkhidmatan secara online adalah sumbangan kita untuk mempertingkatkan kandungan Sektor Awam bagi menyokong Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan.
Kerajaan Malaysia telah melancarkan Strategi perlaksanaan Jalur Lebar Negara atau lebih dikenali sebagai Inisiatif Jalur Lebar Negara yang meletakkan strategi negara untuk membawa dan memperkenalkan jalur lebar ke seluruh Malaysia. Antara intipati strategi ini ialah menyediakan Pusat Internet Rakyat (Rakyat Internet Centres) and pusat Jalur Lebar Komuniti (Mini Community Broadband Centres), pengedaran 2.1 juta netbook percuma kepada pelajar miskin seluruh negara, memasang E-kiosks dan meluaskan liputan selular. Ini bertujuan untuk mengurangkan jurang digital antara desa dan bandar.
Pelaksanaan pusat Jalur Lebar Komuniti (CBC) ke rumah yang akan menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada 615,000 isi rumah di 246 lokasi membabitkan peruntukan RM60 juta; Penubuhan pusat internet rakyat di 138 premis Jabatan Penerangan di seluruh negara yang memberikan liputan jalur lebar kepada 400,000 pengguna; e-kiosk yang akan disediakan di pusat kemasyarakatan dan pejabat mukim di 1,105 mukim di seluruh negara membabitkan peruntukan RM40 juta dan Liputan selular awam di 873 menara baru telekomunikasi yang akan dibina di seluruh negara termasuk 278 di Sabah dan 257 di Sarawak
Kerajaan sedang menggalakkan inisiatif untuk menawarkan jalur lebar kepada seluruh negara kerana faedah ekonomi dan sosialnya amat meluas. Pencapaian kadar penembusan isi rumah sebanyak 50% sebelum akhir tahun akan menyumbangkan sebanyak 1% kepada KDNK dan mewujudkan 135, 000 pekerjaan baru, manakala pada 2012, ia akan menyumbangkan 1.39% kepada KDNK dan mewujudkan 220, 000 pekerjaan baru. Dengan slogan “Jalur Lebar untuk Semua”, inisiatif Jalur Lebar Negara ini akan memastikan bahawa semua rakyat Malaysia, samada di kawasan pinggir bandar, pedalaman atau terpencil, mempunyai akses kepada perkhidmatan jalur lebar. NBI diperkenalkan bertujuan untuk mengubah Malaysia menjadi masyarakat berpengetahuan dan untuk mengorak langkah menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merancang memperkenakan inisiatif Gaya Hidup Digital yang mengandungi enam ekosistem gaya hidup digital - pengangkutan, pertanian, hiburan, pembelajaran, daerah dan kerja.Inisiatif itu bertujuan menawarkan kehidupan yang lebih baik dan bersambung untuk tujuan perniagaan dan sosial.Inisiatif itu akan menyediakan gaya hidup yang dipertingkat.Sebagai contoh, orang ramai boleh menggunakan teknologi seperti telefon bimbit dan sistem GPRS (Perkhidmatan Radio Paket Umum) untuk menjirus tanaman atau memeriksa sama ada sesuatu makanan itu halal atau tidak. Inisiatif seperti itu yang dikenali sebagai "Internet of Things" sudah dilaksanakan di negara lain, termasuk Singapura. Gaya hidup digital adalah serupa dengan "Internet of Things" iaitu rangkaian pengesan tanpa wayar yang dikonfigurasikan sendiri yang menyambungkan pelbagai benda. Antara contoh-contoh projek yang telah mula dilaksanakan di bawah inisiatif DLM adalah seperti Transport & Logistics, Ehalal Trace, Birdnest Traceability, digital district dan ULibrary dan aplikasi yang bakal digunakan haruslah IPv6 enable selaras dengan sasaran kerajaan supaya agensi Kerajaan tersedia IPv6 pada penghujung tahun 2011.(6/2/2011)
Misalnya Ulibrary - “Ubiquitous” didefinasikan sebagai ketersediaan perkhidmatan perpustakaan kepada rakyat dalam situasi yang berterusan di ‘hujung jari’ pengguna. Perpustakaan “U biquitous” ini telah dilaksanakan di beberapa Negara seperti Jepun, Denmark, Korea dan sebagainya. Projek Perintis U-Library (Ubiquitous Library) mempunyai objektif untuk menjadikan maklumat dapat diakses menerusi perluasan perkhidmatan jalur lebar dan teknologi RFID dengan kerjasama sistem rangkaian perpustakaan bagi merapatkan hubungan komuniti, menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan mempereratkan rangkaian sosial masyarakat bermaklumat dalam konteks 1Malaysia.
4.hypertensi di usia muda
Sekurang-kurangnya 42 peratus dewasa Malaysia berusia lebih 30 tahun mengalami hipertensi.Hanya 35.8 peratus yang prihatin mereka mempunyai hipertensi. Tetapi lebih membimbangkan lagi kerana daripada 4.8 juta rakyat Malaysia yang menghidap penyakit ini hanya lapan peratus daripada mereka dapat mengawal tekanan darah mereka supaya berada dalam julat yang boleh diterima.
Semua data dikemukakan itu adalah hasil kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan ke-3 yang dijalankan pada 2006 dan membabitkan orang dewasa berusia 30 tahun serta ke atas. Berbanding 10 tahun lalu, jumlah purata didapati meningkat daripada 33 peratus hingga 43 peratus.
Menjelaskan penyakit hipertensi Dr Azani berkata, darah tinggi sebenarnya terjadi apabila darah dalam sistem kardiovaskular mengalir dengan tekanan yang lebih tinggi daripada biasa. Keadaan itu menyebabkan jantung bekerja lebih keras untuk menentukan pengaliran darah ke seluruh tubuh dan menyebabkan masalah kesihatan yang serius.
Walaupun hipertensi berleluasa dan menjadi satu faktor risiko utama bagi penyakit kardiovaskular, ia antara sebilangan faktor risiko yang boleh dikawal. Ini termasuklah, mengubah cara gaya hidup yang lebih sihat seperti melakukan senaman, berhenti merokok, mengurangkan kolesterol dan mengelakkan diri menjadi obesiti.Gaya hidup masyarakat urban pada masa kini yang terlalu sedikit melakukan senaman dan terlalu banyak makan adalah antara punca utama yang menyebabkan hipertensi.-
Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia (PHP), Dr Azani Mohamed
5. Hak Pengguna Menurut Pandangan Islam
Masyarakat hari ini dikenali sebagai masyarakat pengguna (consumer society) kerana mereka perlu membeli kesemua keperluan hidup yang terdiri daripada keperluan asas seperti makanan, pakaian, perumahan dan juga keperluan perkhidmatan seperti peguam, perubatan, pendidikan, broker, perundingan dan lain-lain.
Oleh kerana mereka begitu bergantung kepada keperluan ini yang terpaksa dibayar, maka mula wujud kesedaran untuk mendapat keperluan yang berkualiti dan sempurna. Kesedaran inilah yang mendorong kepada kemunculan pergerakan pengguna.Perjuangan mereka bermatlamat untuk melindungi para pengguna daripada dianiaya atau ditindas oleh golongan lain perlu kita hargai. Melalui merekalah dalam kes-kes tertentu telah memaksa para pembuat supaya mengeluarkan barangan yang lebih bermutu.
Namun begitu, daripada perspektif Islam, pengguna hari ini berada dalam sistem sosial yang pada asasnya tidak adil iaitu sistem berasaskan kapitalis yang pada prinsipnya membebaskan nafsu manusia untuk merebut kekayaan yang mengakibatkan berlaku penindasan terhadap golongan ekonomi yang lemah oleh golongan ekonomi yang kuat. Oleh itu, pergerakan pengguna hari ini lebih kepada bersifat mendidik pemimpin golongan ekonomi yang lemah (pengguna) supaya menuntut hak mereka dan menentang golongan ekonomi yang kuat iaitu pengeluar.
Islam juga menuntut hak-hak dan jaminan untuk para pengguna. Tetapi Islam menjamin keadilan kepada pengguna melalui sistem dan falsafah ekonominya yang tersendiri yang menganjurkan manusia supaya menjalankan tugasnya terhadap tuhannya, alamnya dan manusia yang lain.
Ekonomi Islam menetapkan semua sumber alam menjadi amanah Allah dan manusia adalah sebagai pemelihara sahaja. Harta-harta hendaklah diperolehi, dipelihara dan digunakan mengikut dasar-dasar yang diluluskan syarak. Pembahagian harta kekayaan mestilah dilakukan dengan adil. Apabila berlebihan, hendaklah digunakan untuk keperluan orang lain.
Selain itu, semua sumber kekayaan yang diperolehi seseorang hendaklah digunakan ke peringkat yang optima. Adalah dilarang sama sekali menyorok, menyimpan, membeku atau memusnahkan harta tanpa kelulusan syarak. Penglibatan terhadap ekonomi adalah wajib terhadap semua inidividu muslim. Individu muslim hendaklah bekerja dengan kuat sehingga harta yang diperolehinya itu mengatasi keperluan diri sehingga berkewajipan mengeluarkan zakat sebagai bukti penglibatan dirinya dalam masyarakat. Dalam bekerja, setiap individu pula berhak mendapat upah yang setimpal terhadap kerja yang dilakukan tanpa sebarang dasar pilih kasih, agama, bangsa dan keturunan dan jantina.
Islam juga mementingkan prinsip persaudaraan Islam di waktu susah atau senang melalui pembahagian harta kekayaan dengan jaminan masyarakat menggunakan hak-hak zakat dan sedekah. Jaminan masyarakat bererti pemerhatian dan pemberian hak ke atas golongan yang tertindas yang merangkumi hak bekalan makanan, perubatan, pelajaran dan tempat tinggal.
Kesimpulannya, cara Islam menyelesaikan masalah ketidakadilan dan penindasan ekonomi ialah dengan menggantikan sistem ekonomi kapitalis dengan sistem ekonomi Islam yang akan melindungi semua golongan manusia.
Diulas daripada artikel asal
PENGGUNA MENURUT PANDANGAN ISLAM
Tulisan Kamaruddin Jaafar, Panji Masyarakat, Bil 34 Jilid VII Ogos 1981
6. Bahan Lucah Di Internet
Pornografi bukanlah sesuatu yang baru kini, kanak-kanak belasan tahun pun sudah tahu apa itu seks menerusi pelbagai cabang maklumat, sama ada melalui teknologi dari mesin cetak (foto dan gambar hidup) sehinggalah ke video, televisyen satelit dan internet.
Dahulu, bahan lucah ini hanya disebarkan melalui pita video kemudian bertukar kepada cakera padat (VCD), yang mendorong berlakunya penyebaran cerita pornografi ini tersebar begitu cepat.
Kemunculan internet, bahan pornografi pun semakin mudah diperoleh. Kesan daripada perkembangan teknologi maklumat (IT) masa kini, kebanjiran laman web lucah semakin cepat apabila video lucah boleh diakses menggunakan komputer dan telefon mudah alih.
Kesan daripada penyebaran laman web tidak terkawal ini telah mendorong kepada kes-kes jenayah seks yang semakin menjadi-jadi bukan sahaja dalam kalangan orang dewasa, tetapi remaja yang tanpa segan silu membuka laman-laman ini dengan tiada perasaan bersalah sedetik pun, bahkan ada yang saling bertukar-tukar video menerusi Bluetooth sesama sendiri.
Bahan lucah kini bukan sahaja tertumpu pada laman web yang memaparkan video-video terlarang dan 'panas', foto-foto yang mengghairahkan, tetapi juga blog-blog yang menyajikan cara baru menikmati kepuasan menerusi cerita-cerita yang mendorong ke arah seks.
Blog seperti ini antara yang mudah dilayari tanpa sebarang sekatan. Malah, sudah terlalu banyak blog yang sama menjadi pilihan pembaca. Penulisannya pula mengalahkan penulis novel, mampu menulis dengan baik sehingga si pembaca mampu terangsang ketika membacanya.
Kini, bahan lucah bukan sahaja tertumpu pada video dan gambar semata-mata, tetapi juga sebagai medium penting untuk menarik si pembaca menjadi 'pelanggan tetap' laman dan blognya.
Mudah akses kepada laman-laman ini adalah antara faktor perkembangan pornografi dalam kalangan remaja, sungguh mudah hanya dengan menaip kata kunci laman yang diingini dalam enjin carian ratusan laman akan terus terpampang, tanpa perlu kata laluan untuk diakses, sebaliknya pembaca hanya perlu memilih mengikut minat masing-masing.
Keseronokan menonton bahan lucah mendorong individu menjadi gila seks selain perlakuan ini bakal mengundang gejala seks bebas dan seterusnya mendorong kepada perbuatan keji seperti membuang bayi tidak berdosa.
Ada yang mencadangkan agar laman-laman ini disekat untuk mengawal penyebaran bahan-bahan lucah secara berleluasa.
Namun, agak sukar kerana laman-laman ini semakin hari semakin banyak sehingga agak sukar untuk dibendung.
Masa kini, tidak susah untuk kita memperoleh satu produk bagi membantu menjaga aktiviti melayari internet anak-anak dalam pasaran. Hanya dengan membeli perisian antivirus pun sudah mampu membantu kita menjadi 'mata kedua' anak-anak.
Oleh itu, salah satu caranya, ibu bapa hanya perlu memantau aktiviti anak mereka supaya tidak terjebak dalam perbuatan maksiat. Ia sebagai alternatif sendiri di rumah yang mampu menyekat anak-anak daripada menembusi laman lucah.
Perisian curi video si pemilik
"Laman-laman lucah agak sukar untuk dikawal, setiap hari sekurang-kurangnya ada satu laman atau blog lucah yang dicipta, lagipun untuk menyekat laman-laman ini perlu dibuat satu-satu setiap laman yang ada.
"Lagipun, laman lucah bukannya sedikit, ada ratusan ribu laman web dan blog yang sedia ada dari seluruh dunia," kata Pengarah Urusan Meissa Group Sdn Bhd, Rehan Ahmad Jamaluddin, ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.
Menurutnya, untuk menyekatnya pula, bukan senang, perlu tahu semua laman web lucah dan blog yang ada, tidak boleh dibuat sewenang-wenang, bimbang akan mengganggu enjin carian lain.
Bagaimanapun, terdapat beberapa antivirus yang mampu menyekat laman web lucah untuk diakses oleh anak-anak di rumah hanya dengan membuat setting dan kata laluan, antaranya seperti Antivirus Eset.
Rehan berkata, rata-rata laman web dan blog ini diwujudkan dengan misi utama untuk mendapat keuntungan bukan saja menerusi bayaran ahli secara bulanan, tetapi menerusi iklan-iklan yang masuk apabila mempunyai sejumlah besar pengunjung laman web mereka.
No comments:
Post a Comment
Your comments here