Rasulullah saw menugaskan aku menjaga zakat Ramadhan (zakat fitrah). Kemudian datang seseorang lalu diambilnya segenggam makanan. Aku tangkap orang itu dan berkata kepadanya, “Nanti kuadukan engkau kepada Rasulullah saw.”
Katanya, “Aku memerlukan, kerana aku mempunyai keluarga dan keperluan yang amat sangat.”
Kata Abu Hurairah: Kerana itu aku lepaskan saja dia. Esok pagi Nabi saw bertanya, “Hai Abu Hurairah, apa yang dibuat tawanan engkau malam tadi?” Jawabku, “Ya Rasulullah, katanya dia sangat memerlukan, dan dia mempunyai keluarga. Aku berasa kasihan dan aku lepaskan dia.”
Nabi bersabda, “Sebenarnya dia berdusta kepadamu, dan dia akan datang lagi.”
Aku pun yakin dia akan datang lagi, kerana kata-kata Rasulullah saw itu, lalu aku intip dia. Memang benar, dia datang lagi, dan diambilnya segenggam makanan. Terus aku tangkap dia, sambil berkata, “Nanti kuadukan kepada Rasulullah saw.”
Katanya, “Lepaskan aku. Aku sangat memerlukan, dan aku punyai keluarga. Aku tak akan buat lagi.”
Aku berasa kasihan, lalu aku lepaskan dia. Esok pagi-pagi Rasulullah saw bertanya aku, “Hai Abu Hurairah, apa yang dibuat tawanan engkau malam tadi?” Saya jawab, “Ya Rasulullah, katanya dia sangat memerlukan, dan dia mempunyai keluarga. Aku berasa kasihan dan aku lepaskan dia.”
Nabi bersabda, “Sebenarnya dia berdusta kepadamu, dan dia akan datang lagi.”
Aku intip dia lagi untuk kali ketiga. Memang benar dia datang lagi dan diambilnya segenggam makanan. Lantas aku tangkap dia seraya berkata, “Aku akan adukan engkau kepada Rasulullah saw. Ini kali ketiga engkau kata tak akan datang lagi tetapi engkau datang juga.”
Katanya, “Lepaskan aku, nanti aku ajarkan engkau kalimah-kalimah yang diberi manfaat oleh Allah, apabila engkau membaca kalimah itu.” Kataku, “Apakah kalimah itu?”
Jawabnya, “Apabila engkau hendak tidur, bacalah Ayat Kursi, Allaahu laa ilaaha illa huwal haiyul qayyuum… (hingga akhir ayat 255 surah Al-Baqarah). Maka engkau akan sentiasa berada dalam peliharaan Allah, dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga ke pagi.”
Setelah itu aku pun lepaskan dia. Esok pagi Rasulullah bertanya, “Apa yang dibuat tawanan engkau malam tadi?” Saya jawab, “Ya Rasulullah, dia mengajarkan aku beberapa kalimah yang katanya diberi manfaat oleh Allah apabila seseorang membacanya. Kerana itu dia aku lepaskan.”
Nabi bertanya, “Apakah kalimah itu?” Jawabku, “Dia mengatakan kepadaku, apabila engkau hendak tidur bacalah Ayat Kursi dari awal hingga akhir, yakni Allaahu laa ilaaha illa huwal haiyul qayyuum… , dan katanya, engkau akan sentiasa berada dalam peliharaan Allah, dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga ke pagi.”
Nabi saw bersabda, “Sesungguhnya dia telah benar kepadamu, padahal dia sangat pendusta. Tahukah engkau dengan siapa engkau bercakap selama tiga malam itu wahai Abu Hurairah?” Jawabku, “Tidak.”
Sabda baginda, “Itulah syaitan.”
[Shahih Bukhari (Terj), 1997, Klang Book Centre, Klang, hadis no. 1122, ms 316-319(ii)]
No comments:
Post a Comment
Your comments here