Friday, 21 September 2012

:: Hidupkah Hati Kita? ::



Oleh :
 Abu Umar


“Rambut sama hitam tapi hati lain-lain” itulah pepatah orang tua-tua. “Tak tubuh tak melata, tak sungguh orang tak kata”. Ya, itulah hakikatnya manusia, walaupun rambut sama hitam tetapi hati dan jiwanya terlalu berbeza.
Ada orang yang mengeluh tuala mandinya hilang. Seharian dibawanya wajah yang berkerut untuk dipamerkan kepada sesiapa sahaja yang ia temui. Ketika mengangkat takbir untuk solat, fikirannya bekerja keras cuba mengingatkan, dimana tualanya. Makanan yang dijamah hilang keenakannya dan bibirnya tidak lagi mampu mengukirkan senyuman.
Ada orang lain pula yang kehilangan seluruh anggota keluarganya. Dalam sekelip mata, kemalangan yang tidak diduga memisahkan selama-lamanya antara dia dan insan-insan yang sangat dikasihinya. Namun ia masih mampu tersenyum. “Allah lebih mengetahui apa yang baik untuk kita” responnya seolah-olah cuba menenangkan pengunjung yang kesedihan bersimpati.
Ya, rambutnya sama hitam tetapi hatinya berbagai warna. Yang menjadikan kita terlalu berbeza ialah hati kita. Yang kuat atau yang lemah sebenarnya adalah hati kita. Manusia dengan jiwanya yang lemah melihat satu masalah kecil itu terlalu besar hingga mampu mengubah perwatakan dirinya. Ia mula hilang senyuman, sedih, kecewa dan penuh keserabutan sedangkan semalamnya ia seorang yang ceria dan nampak bahagia.
Manusia yang jiwanya kuat melihat masalah yang besar itu kecil sahaja. Ia masih mampu mengukir senyumannya, bahkan senyuman yang paling indah adalah senyuman ketika berdepan kedukaan. Hati sesiapa sahaja akan terasa kagum dan hormat pada ketenangan wajah dan senyuman yang dipamerkan ketika hidup dibebani musibah, kapayahan dan kesedihan. Senyuman ketika keseronokan adalah senyuman murahan yang mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja. Namun senyum dalam kedukaan hanya untuk jiwa-jiwa yang kuat yang memiliki hati yang hidup.
Hati yang hidup adalah hati yang penuh keimanan dan kepasrahan, hati yang penuh keyakinan terhadap Rubbubiyatullah, hati yang melihat Allah sebagai Pemilik kehidupan yang Maha Pengasih dan Maha Bijaksana.  Hati yang mampu menyelami hikmah dalam lubuk musibah, hati yang mampu teguh dalam kegoncangan hidup.
Juga hati yang sentiasa melihat diri dan kehidupan dengan rasa kehambaan lalu tunduk dan pasrah kepada Uluhiyatullah. Iaitu hati yang tunduk dan menyerah segalanya kepada kehendak dan takdir Allah. Hati yang memuji dan mengharap hanya pada Allah, mengadu kelemahan diri hanya padaNya disamping memohon kekuatan dengan penuh rasa tawakkal.
Inilah hati yang hidup. Hati yang penuh kecintaan pada Allah dan cinta pula segala yang dicintai Allah. Kehidupannya umpama sebuah novel cinta, penuh duri dan ranjau namun harapannya tidak pernah padam. Ketika perjalanan begitu membebankan, kerinduannya membuahkan kesabaran. Ketika jiwa terlalu sunyi dan pilu ia melagukan munajat kerinduan hingga ia mampu kembali tersenyum memandang kehidupan dengan harapan dan keazaman. Hatinya tidak mengenal benci melainkan kepada apa yang Allah benci.
Inilah hati yang hidup. Hati yang gementar bila disebutkan nama Allah dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah maka bertambahlah keimanannya dan kepada Allahlah jiwanya sentiasa berserah dan bertawakal.
Inilah hati para sahabat yang telah disiramkan air keimanan oleh kekasih Allah (Rasulullah SAW). Mereka sentiasa diuji dengan ujian yang begitu berat namun mereka memiliki kesabaran yang luarbiasa. Ada sahabat yang dililit dengan rantai yang panas membara hingga tubuhnya berbuih mengeluarkan lemah dan lemak itu pula yang memadamkan bara api. Ada yang terpaksa hidup kelaparan, ada yang merentasi padang pasir yang kering kontang berseorangan. Namun kita tidak mendengar mereka memanjangkan keluhan atau melagukan kesedihan. Jasad mereka menempuh kehidupan dengan penuh kepayahan dan penyiksaan tetapi hati mereka sentiasa tersenyum bahagia. Ya, mereka tidak memiliki seperti apa yang sedang kita miliki; Keamanan, kemewahan dan kesenangan tetapi mereka memiliki kebahagiaan. Dan kebanyakan kita memiliki segalanya kecuali kebahagiaan, lapang dada, ketenangan dan kesyukuran.
Jadi yang seharusnya kita idamkan hari ini bukanlah sekadar pakaian yang cantik atau rumah bak istana tetapi hati yang hidup yang penuh cinta dan rindu pada Khaliqnya kerana hati yang begini ialah hati yang benar-benar hidup. Hati yang mengalirkan kekuatan ketika hidup kita terlalu membebankan.

No comments:

Post a Comment

Your comments here