Thursday, 30 May 2013

Sepasang mata dan sekeping hati | bila ia kering kegersangan

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi maha Mengetahui

Hari ini saya ingin menulis seputar kisah sepasang mata dan sekeping hati buat ibrah bersama. Kisah sepasang mata yang dulu sering juga basah dengan titis-titis embun syahdu yang lahir dari sekeping hati. 

Hampir setiap hari ia disirami air barakah. Barangkali ia satu proses tarbiyyah. Setelah bertahun-tahun mata dan hati itu basah dengan air kelodak yang memedihkan mata. 

Suatu hari sepasang mata dan sekeping hati itu terasa perit kembali. Ia ketandusan. Datarannya kegersangan. Baharulah sepasang mata dan sekeping itu mengerti. Sudah lama ia tidak dibasahi.

Mata kanan dan mata kiri memejamkan kelopaknya. Diam begitu. Lama. Mencari dalam kegelapan satu titik cahaya. Rentak degup jantung sedikit sebanyak membantu mereka mencari cahaya itu. Dalam kesamaran sepasang mata itu bertanya pada cahaya.

"Cahaya, mengapa kau semakin malap. Tidak seindah dulu. Hati kian kesamaran keranamu"

Cahaya tinggal diam. Tidak mahu menjawab. Tetapi sepasang mata itu semakin faham dan dapat menduga. Mata kanan dan mata kiri terus terpejam. Ia singgah ke jendela jantung. Sepasang mata itu terasa panas dan kebasahan. 

"Jantung, walau apapun yang berlaku kau tidak pernah menyalahi arahan Rabb-mu. Walaupun kami terpejam dan tertidur kau tetap juga bekerja. Mengikut aturan tuhanmu. Sedangkan kami ini sentiasa melakukan maksiat kepadaNya."

Jantung terus mengepam darah-darah mengikut aliran. Sapaan sang mata tidak sedikitpun membuatkan ia mahu berhenti sejenak dan berehat melayan tamunya. Itulah taqdir dan aturan tuhannya yang tidak sesekali pernah dan akan ia langgar. Mata faham dan berlalu pergi

Akhirnya sepasang mata itu tiba juga di pintu hati. Mata akhirnya menangis melihat keadaan hati yang sakit, tandus dan tidak subur lagi seperti dulu. 

"Wahai hati, aku dan mata kiri terasa perit kerana kami kekeringan. Mengapa tiada lagi titis-titis syahdu dari dataranmu?"

Dalam ketar suara hati menjawab "Tidakkah kau lihat keadaanku yang sedang sakit ini. Dan tidakkah kau rasakan betapa rimas aku hidup dalam kesamaran dan kegelapan seperti ini?"

Mata turut bersimpati. Namun mereka perlukan kepastian

"Wahai hati. Jantung bekerja terus seperti biasa walaupun kami tidur. Walaupun cahaya semakin malap dan menyesakkan. Jari jemari, tangan serta kaki juga kelihatan sihat dan tidak sakit. Malah boleh mendaki bukit dan berlari. Masakan keadaan kita seperti ini?"

"Mata kanan dan mata kiri. Jika kalian melihat tubuh ini bergerak sihat tidak bermakna dalamannya juga sihat. Lihatlah aku dan kamu berdua. Aku sesak dan sakit. Aku juga ketandusan. Tetapi tubuh ini menzalimi dirinya sendiri. Aku tidak dipakaikan pakaian dari rasa malu. Hidangan Zikrullah dan ibadah juga semakin tidak enak serta sedikit. Bagaimana aku boleh bertahan, hidup dan segar. Dindingku dipecah-pecahkan dengan hiburan yang tidak mendidik jiwa. Santapan rohani berupa ilmu sudah lama tidak dapat aku hadam. Oleh sebab itulah, cahaya ini semakin malap"

Mata kanan dan mata kiri kini saling berpandangan. Perlahan-perlahan sepasang mata itu kembali ketempat mereka. Masih tertutup kerana malam masih hitam. Kira-kira sepertiga akhir malam. Tiba-tiba sepasang mata itu terbuka. Jemari tubuh meraba-raba. Lampu dipasang, mata kanan dan mata kiri terkenyit sepet.

Kaki kini menuruni katil yang empuk lagi enak. Badan terasa masih memerlukan rehat dan mata juga mahu ditutup kembali. Tapi goncangan dari hati menyentak kelopak mata. Mata akur.

Pili air dibuka dan sebahagian tubuh dibasahi wudhu'. Langkah diatur dan sejadah putih dibentangkan dihadapan mata. Tangan diangkat lalu kedengaran bibir mengucap takbir

"Allahu akbar"

Malam itu, sepasang mata itu kembali subur dan tidak lagi kegersangan. Hati juga semakin sihat walaupun remuk redam dek kerana rintihan dosa, kelalaian serta kealpaan. Dahi yang menyentuh bumi juga seakan meraikan sepasang mata dan sekeping hati. Semoga mereka tidak lagi tandus dan mati. Alhamdulillahi rabbil 'alamiin ...




No comments:

Post a Comment

Your comments here