"Minta maaf sangat-sangat. Tapi saya rasa saya tak layak"
"Saya rasa perlu berikan tugas dakwah ini kepada yang lebih berilmu dari saya"
"Saya tidak boleh beri komitmen. Carilah orang lain "
Respon-respon begini sudah sebati buat mereka yang berusaha mencari pelapis-pelapis dakwah. Sangat mengecewakan buat mereka yang tiada kekuatan mental. Tanpa berbekalkan tawakkal dan rasa kebergantungan kepada Allah, maka sesiapa pun akan merasai simptom-simpton futur apabila diuji.
HAMASAH ITU MENJADIKAN SEORANG TUA BERJIWA MUDA. TANPANYA SEORANG PEMUDA TIDAK JAUH BEZA DENGAN SEORANG TUA
Hamasah ( Gelora, Semangat ) adalah keistimewaan semua yang bergelar pemuda. Disebabkan itu kita dapat lihat apabila ada sahaja aktiviti atau program, pemudalah yang paling bersemangat dan kreatif!
Inilah aura pemuda. Seorang pemuda berada dalam satu fasa kehidupan di mana segalanya dilihat terlalu realistik. Pemuda juga cenderung menjadi orang yang optimistik.
Berbeza pula dengan golongan yang lebih berumur dimana mereka kebanyakannya lebih memilih untuk berada di dalam " comfort zone ". Hari-hari mereka dipenuhi dengan agenda yang dirasakan bersifat kedewasaan. Memilih untuk bermain dan berinteraksi dengan anak-anak dan ahli keluarga, sibuk memenuhkan isi rumah, serta membelek naskhah tabloid.
Pemuda selalunya suka berada di luar "mainstream" dalam usaha menjadikan hidup mereka istimewa dari orang lain.
HAMASAH ADALAH NILAI TAMBAH DALAM KEHIDUPAN PEMUDA YANG BERJUANG
Rasa tanggung jawab mungkin menjadi pencetus sebuah perjuangan yang didukung oleh seorang pemuda. Tetapi dengan hamasah, ia membantu pemuda untuk istiqamah dalam perjuangannya.
Secara prinsipnya manusia lebih mudah melakukan seuatu yang dia suka. Hamasah ini menjadikan kita suka untuk melakukan sesuatu kerja. Datanglah sang ribut yang menduga, mahupun panas terik yang membuat kulit basah dengan rembesan keringat, segala-galanya tidak menggugat semangat dan keazaman pemuda.
Inilah deifinisi pemuda, seorang manusia yang hidup dalam rangka memaksimakan kudrat dan anugerah demi memenuhi cita. Tanpa aspek-aspek signifikan ini, apalah beza seorang pemuda dan tua. Mereka hidup, mereka makan dan mereka tidur. Sama sahaja. Cuma yang beza hanyalah susunan angka-angka usia.
SALURKAN HAMASAH ITU SECUKUPNYA, KE WADAH YANG BETUL
Jika kita lihat pada hiruk pikuk kota, pasti akan terserlah pemuda-pemuda dengan semangat mereka. Ada yang bersemangat untuk berlumba haram, bernyanyi, menari, tidak kurang juga yang membuat graffiti di dinding-dinding konkrit. Setiap 'stroke' dan warna punya makna tersendiri pada diri seniman muda. Semangat bukan?
Inilah natijah kepada hamasah yang tidak disalurkan ke wadah yang betul. Hamasah pemuda tidak mungkin dapat dieram dan biar diam dalam diri begitu sahaja. Ia mesti ditumpahkan. Persoalannya, wujudkah saluran buat mereka yang kurang kefahaman Islamnya?
Pemuda diseru untuk terus berada dalam kumpulan yang mensasarkan dakwah dan penyebaran ilmu kepada rakan-rakan yang kurang menerima fikrah islamiyyah. Walaupun tidak ada pendidikan formal dalam bidang agama, itu bukan alasan bagi mereka yang sudah ada kesedaran dan pertimbangan baik dan buruk mengikut neraca dan perspektif Islam untuk membantu.
Harus difahami, jika kita menunggu seseorang pemuda untuk mencukupkan ilmu dan akhlaq mereka, maka terbantutlah dakwah. Jika ada yang melamarmu untuk dikerahkan menjadi da'ie tentera Allah, walaupun diri terasa belum sempurna pertimbangkanlah.
Jangan mencari alasan untuk menutup sikap escapisme.
BERGERAKLAH DARI KAWASAN TEORI DAN KONSEP KE MEDAN PRAKTIKAL DAN APLIKASI
Satu perkara yang biasa bila pemuda menyuarakan pendapat, cadangan dan penampah baikkan. Tetapi menjadi luar biasa bila pemuda itu sendiri yang melaksanakan agenda mereka.
Senario biasa kita lihat di kampus-kampus pengajian ada sahaja suara-suara yang mengkritik dan cuba menambah baik. Tetapi hakikatnya berapa ramai dari mereka yang benar-benar ikhlas ingin melihat persatuan-persatuan khususnya yang bergerak atas nama Islam, lebih efektif dan baik? Dan tidak kurang mereka yang sekadar bernada sumbang dan lebih berniat memperlekehkan. Kritikan yang membina bagus dan perlu, tetapi marilah kita menyumbang idea dan tenaga.
Datangkanlah solusi!
Kesimpulannya, para pemuda ayuh bangkitkan semula api hamasah yang sudah terpadam. Kita masih ada masa untuk melakukan perubahan. Jangan biarkan usia muda kita dengan sesuatu yang bakal dikesalkan dengan tindakan yang kita buat dan tindakan yang kita tidak buat.
Kitalah pemuda Islam yang dipenuhi hamasah.
Infiruu!
No comments:
Post a Comment
Your comments here