Wednesday, 21 May 2014

Dia Seorang Pejuang

Minggu lalu, sedang saya membelek-belek almari buku di dalam bilik, terdetik dalam hati untuk membelek buku-buku lama tinggalan arwah abah. Satu persatu buku di atas rak itu saya teliti. 

Tanpa saya sangka, hari itu menjadi permulaan dalam percubaan saya untuk menyelongkar sedikit sebanyak episod hidup abah. Ternyata, abah bukan seorang yang biasa-biasa!

Tetapi, malam ini saya bukan ingin bercerita tentang abah di waktu zaman saya masih kecil dan sebelumnya. Tetapi saat-saat akhir hidupnya. Tidak banyak yang saya ingin coretkan malam ini. Hanya sebutir dua hikmah untuk renungan bersama.

Abah penghidap penyakit kegagalan buah pinggang. Oleh sebab itu, Abah akan melakukan dialisis setiap hari. Ramai yang maklum terdapat dua jenis dialisis yang ada. Abah memilih untuk melakukan CAPD atau Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis. Dialisis jenis ini memerlukan Abah untuk melakukan ''pembersihah'' dengan cara memasukkan sejenis cecair khas ke dalam ruang peritoneal.

Mengapa CAPD? 

Saya sendiri kurang pasti mengapa. Tapi saya yakin, Abah memilih CAPD tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kami. Untuk isteri dan anak-anaknya. 

CAPD tidak perlu untuk ke pusat rawatan haemodialysis dan menunggu kurang lebih 3-4 jam untuk sekali rawatan. CAPD dilakukan empat kali sehari, 6 pagi 12 tengah hari, 6 petang dan 12 malam. Lebih kurang inilah jadualnya. Setiap kali CAPD dilakukan, hanya memakan masa 30 minit.

Dengan cara ini, Abah masih boleh bekerja. Abah hanya perlu ke klinik atau hospital berdekatan, didalam ruang khas dialisis atau bilik khas yang telah sedia sterilised atau nyahkuman.

Haemodialisis pula perlu masa yang lama. Dan setelah rawatan, pesakit akan menghadapi rasa mual, loya pening atau muntah. Dan tidak boleh memandu dalam masa 1 jam selepas rawatan. Kerana itu, Abah memilih rawatan CAPD. Abah masih mahu bekerja. Bekerja untuk menyara kami. Memberi nafkah anak isteri.

Hebatnya pengorbanan Abah!

Abah memikirkan kami, sebelum memikirkan diri sendiri. Abah tahu dalam perlindungannya adalah seorang wanita hebat, dan 5 orang anak-anak yang fragile. Perlukan perlindungan. Dan Abah adalah seorang pelindung yang setia.

Abah tidak boleh selalu terdedah dengan kuman dan kotoran. Tetapi, menjadi seorang jurutera tapak, bukankah habuk, debu, tanah dan lumpur itu medan juangnya? Abah tidak terlalu ambil pusing soal itu, begitu tinggi pasrah dan tawakkal pada Allah.

Saya masih ingat, saya selalu mengambil tangan abah dan mencari-cari pergelangan tangannya. Lalu dibawa ke cuping telinga. Deras! Deras sekali aliran darah dan begitu kuat kedengaran injap salur darah setelah urat itu dibesarkan dalam satu pembedahan.

Dan saya masih ingat juga, Abah seorang lelaki yang gagah. Tak pernah terdengar langsung rintihan, keluhan apatah lagi tak pernah lihat abah menangis. Tapi pada malam pembedahan itu, Abah merintih, dan berzikir kuat Allahu akbar. Saat itu dada saya terasa dihimpap bebanan. Malam itu, pertama kali saya lihat Abah dalam keadaan sakit yang teramat. Seperti tidak tertanggung sampai sahaja Abah merintih.

Betapa sakitnya apa yang Abah rasa.

Abah kuat. Tapi sekuat abah, tak tertanggung rasa sakit itu. Melihat abah dalam keadaan 'fragile' seperti itu, hati seorang anak ini jadi rapuh. Kalau bukan kerana tidak mahu abah sedih melihat saya risaukan abah, pasti dah lama saya turut menangis dalam wad disaksikan doktor dan jururawat. Tapi, dalam diam, saya sembunyikan setiap titis air mata. Bimbang mengundang embun pada kelopak mata Abah. 

Tibanya saat doktor menasihatkan Abah untuk bertukar dari CAPD ke haemodialisis. Saya tidak pasti bagaimana abah menghadapi saat ini. Apa yang terlintas dan yang difikirkan Abah. Apa yang pasti, Abah seorang abah yang bertanggungjawab dan 'sensible'. 

Tempoh melakukan haemodialisis ditangguhkan. Atau sengaja ditangguhkan saya pun tidak tahu. Tapi yang pastinya Abah tidak sempat menjalani haemodialisis.

Maksudnya, sehingga ke akhir hayat Abah, dia adalah seorang pejuang.

Dalam sakit, Abah masih bekerja menyara kami
Dalam sakit, Abah masih terlibat aktif dengan JKK
Dalam sakit, Abah masih berbakti pada KAFA (i) Al-Imaniah
Dalam sakit, Abah masih istiqamah berjamaah di masjid

Sehingga ke akhir hayat Abah, dia bukanlah seorang 'pencen sakit'. Masih tetap bekerja kerana risaukan kami 5 beradik. Sehingga ke akhir hayat Abah, dia menyumbang untuk kami. Dalam keadaan Abah sendiri kurang upaya.

Itulah kisah Abah. Tidakkah kita yang masih hidup, muda dan berkemampuan ini tidak mahu mengambil ibrah? 

Kekuatan kita, kemana kita salurkan?
Keupayaan kita, kemana kita salurkan?
Fikiran kita, kemana kita salurkan?
'concern' kita, kemana kita salurkan?

Abah tinggal sedikit kekuatannya, tetapi masih mampu memberi.

Abah perlukan penjagaan, tetapi masih mampu menjaga kami.

Saya ingin menjadi seperti Abah. Saya ingin memberi bukan sebab saya ada banyak. Tetapi sebab saya ada, walau sedikit. Walau esok seperti bukan milik saya lagi. Saya ingin terus memberi.

.: Abah pergi meninggalkan kami awal november 2009. Al-Fatihah buat insan hebat ini. Dan ambillah pengajaran dari pengorbanannya. :.

2 comments:

Your comments here