Bismillah..
Hari ini saya terpanggil untuk mengulas satu isu yang dibangkitkan oleh satu page di Facebook. Malangnya saya sudah terlupa page berkenaan, jadi saya tidak dapat menyertakan link asal post berkenaan.
Secara umumnya, post itu bertemakan seputar didikan anak perempuan. Walaupun isinya lebih kenapa didikan anak lelaki.
Antara yang menarik dan membuat saya terfikir adalah 'Jangan biar anak lelaki lebih perempuan dari perempuan, dan anak perempuan lebih lelaki dari lelaki'
Hal ini saya kira ada benarnya.
Bila saya imbas kembali senario di kebanyakan rumah-rumah kita, majoriti anak perempuan boleh menguruskan hampir semua urusan rumah-rumah. Dari menyapu sampah, membersihkan tingkap, memasak, susun atur perabot bahkan mungkin ada beberapa anak perempuan yang lebih "advance" lagi yang pandai ilmu-ilmu asas pertukangan, berkebun dan pendawaian.
Tidak pelik bukan?
Baiklah, mari kita tengok pula anak-anak lelaki di rumah.
Apa yang mereka lakukan? Adakah mereka membantu tugas-tugas mudah seperti mengangkat kain di jemuran atau membasuh pinggan?
Ahhh... Ini kerja orang perempuan
Benar. Tapi apa pula kerja orang laki-laki?
Saya cuba mencari sebab kenapa timbulnya budaya anak perempuan yang bertanggungjawab ke atas urusan rumah tangga sejak turun temurun, tanpa mengira sebarang peradaban dan tempat.
Lalu saya terfikirkan satu jawapan.
Iaitulah, anak lelaki pada zaman dahulu terlibat dalam aktviti-ativiti berbentuk "outdoor". Lihat sahaja filem dahulu seperti Nujum Pak Belalang dan lain-lain. Kita dapat lihat anak lelaki memenuhi jadual harian mereka setiap hari dengan perkara-perkara berbentuk luar rumah.
Anak lelaki zaman dahulu, agenda harian mereka termasuk skil-skil kemandirian hidup. Mereka belajar cara-cara memikat burung, belajar menebang pokok, belajar menangguk ikan mahupun mencandat sotong. Skil-skil "survival" ini secara tidak langsung menanamkan dalam diri anak lelaki tersebut rasa kerbertanggungjawaban terhadap kaum perempuan di rumah-rumah mereka.
Mentaliti yang ada dalam diri mereka adalah, "Jika bukan orang laki-laki yang mencari rezeki, bagaimana mahu menyara anak bini". Dan mentaliti sebegini telah tertanam sejak mereka kecil. Anak laki-laki harus kuat. Harus mampu membuat kerja-kerja. Jikalau tidak menebang pokok, pergilah mencari kayu api. Nanti tidak berasap jadinya dapur hari ini.
Justeru, tidak hairanlah anak-anak perempuan mengambil tugas menguruskan hal-hal di rumah. Di saat anak lelaki kebanyakannya terlibat dengan aktiviti-aktiviti mereka di luar rumah.
Apa beza hari ini?
Ingin saya jelaskan awal-awal ini hanyalah sekadar pendapat peribadi berdasarkan pemerhatian saya. Saya tidak nafikan ada sesetengah rumah tidak begini. Saya tidak men"generalisasi" cuma cuba untuk mengkaji yang majoriti.
Kita lihat pada hari ini anak perempuan lebih matang dalam menguruskan kehidupan mereka. Mereka sudah punya rasa bertanggungjawab untuk membantu menguruskan rumah tangga. Sebaliknya, disebabkan keadaan masyarakat kita yang sudah jarang-jarang keluar rumah, maka anak lelaki sudah tidak lagi terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang menanamkan rasa tanggungjawab untuk bersama-sama menjaga keluarga.
Anak lelaki dibiarkan berada didalam bilik bermain komputer mahupun telefon pintar yang membodokan manusia (smartphone, dumbpeople). Mereka sudah tidak ada aktiviti yang boleh membuatkan mereka berfikir dan bertindak sebagai "gentlemen".
Adakah mereka belajar ilmu-ilmu asas seperti pendawaian, pertukangan dan berkebun? Mungkin ada, tetapi jarang-jarang dapat kita jumpa.
Lalu, aktiviti manakah yang tinggal buat anak-anak lelaki menanamkan rasa tanggungjawab mereka terhadap keluarga sedari kecil?
Bahkan untuk menebang pokok juga dilakukan adik perempuan dan kakak-kakak mereka. (berdasarkan kisah benar... Oh termasuk buang sampah).
Ada sesetengah anak lelaki yang bagus dan terlibat dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti membantu di masjid dan surau mahupun JKKK. Inilah anatara sikap terpuji yang saya lihat masih ada dalam generasi anak muda lelaki. Cuma, kalau mahu melihat mereka membantu di dapur sendiri itu payah sekali. Bukankah rumah itu tanggungjawab bersama.
Ada juga anak lelaki yang sibuk mendalami ilmu agama. Tetapi agama itukan adalah melalui pembuktian. Bagaimana agama boleh menjadikan seorang lelaki "malu" atau "malas" untuk berada di dapur? Tanamkan dalam diri anak-anak bahawa ini semua adalah common sense. Supaya mereka tidak rasa "pelik".
Kesimpulannya
Bukan niat saya untuk membuat anak-anak perempuan "kurang" bekerja tetapi saya ingin melihat anak-anak lelaki ada mentaliti bahawa "rumah ini rumah kita". Saya percaya sikap ini akan mencambahkan "accountability" atau sikap kebertanggung jawaban dalam diri mereka.
Benarkan anak-anak lelaki membantu didapur, menyapu sampah dan sebagainya. Sehari satu "kerja" pun sudah cukup bagus. Jangan biarkan mereka menjadi "Tuan Besar" atau "Boss". Biar mereka merasa bagaimana menguruskan rumah tangga. Biar mereka rasa bertanggungjawab pada keluarga. Mulakan dengan perkara remeh temeh seperti bersama-sama mengemas rumah. Kemudian teruskan dengan perkara-perkara yang lebih besar. Seiringan.
Saya yakin anak perempuan kebanyakannya tidak kisah jika mereka harus melakukan semua kerja rumah kerana bagi mereka itu urusan yang mudah.
Charity begins at home.
Walaupun cadangan saya ini terlalu remeh, tetapi saya kira perkara-perkara kecil sebegini boleh menghasilkan impak yang besar dalam jati diri anak muda lelaki.
Sekian
Maafkan kesilapan saya dalam memberi pandangan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
exactly
ReplyDelete